PKP: Usaha bantu gelandangan dipergiat
KUALA LUMPUR - Yayasan Al Aim dengan kerjasama penaja utamanya, City Group Sdn Bhd pergiat misi membantu gelandangan pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.
Pengerusi Yayasan Al Aim, Che Al Mahera Che Ibrahim berkata, misi bantuan makanan kepada gelandangan sekitar kawasan Medan Tuanku, Chow Kit dan Jalan Hang Lekiu dilaksanakan sejak lima tahun lalu.
Menurutnya, sebanyak 1,000 pek makanan diagihkan kepada gelandangan pada setiap Isnin dan Selasa selain pihaknya turun padang memberikan motivasi serta nasihat.
"Sejak PKP dilaksanakan, kami merasakan gelandangan ini perlu ditempatkan di tempat khas bagi mengelak penularan koronavirus (Covid-19).
"Menyedari keadaan ini, Yayasan Al Aim bersama City Group menghubungi Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk menempatkan gelandangan ini di pusat komuniti sekitar Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, pihaknya telah menyumbangkan barang keperluan seperti tilam, bantal dan keperluan mandian bagi kegunaan 200 gelandangan yang ditempatkan di Pusat Komuniti Sentul Perdana,
Selain itu katanya, sumbangan makanan tengah hari selama lima hari seminggu turut dilakukan secara bersama dengan agensi lain seperti Pertiwi, Kenchara, Sime Darby, Dapur Bimda Khadijah dan lain-lain.
Dalam masa sama, pihaknya turut berharap lebih banyak badan bukan kerajaan tampil membantu golongan gelandangan.
"Kami berharap Covid-19 segera berakhir dan keadaan kembali pulih seperti sedia kala," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!