Malaysia kini beralih pada fasa pemulihan jangkitan Covid-19

Dr Noor Hisham bercakap pada sesi sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.
 -Foto Bernama
Dr Noor Hisham bercakap pada sesi sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.
 -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia kini sudah berada pada fasa pemulihan jangkitan wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia susulan pertambahan kes jangkitan baharu yang direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kekal pada tahap dua digit sejak minggu lalu.

Bagaimanapun katanya, kerajaan masih perlu meneruskan empat pelan tindakan yang dilaksanakan sebelum ini melibatkan peranan kerajaan serta orang awam bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

"Empat pelan tindakan itu adalah kawalan sempadan negara yang ketat dan kawalan pergerakan yang berada di bawah tanggungjawab kerajaan.

"Sementara itu, dua pelan tindakan lagi perlu dilakukan oleh orang awam iaitu dengan menjaga penjarakkan sosial serta amalan kebersihan diri," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya hari ini.

Noor Hisham berkata, kawalan sempadan yang ketat bertujuan mengelak berlaku kes import.

"Bayangkan kalau kita buka pintu sempadan, ramai pelancong yang akan masuk, tambah lagi lebih 180 negara dilaporkan turut dilanda wabak Covid-19.

"Kawalan pergerakan juga penting walaupun ia tidak akan menyelesaikan wabak itu tetapi sangat membantu memutuskan rantaian penularan jangkitan tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, paling penting adalah tanggungjawab orang ramai untuk terus kekal di rumah serta memastikan penjarakkan sosial serta mengamalkan kebersihan diri.

"Kita belum ada vaksin untuk merawat wabak ini walaupun banyak penyelidikan dibuat dan ia juga mengambil masa untuk ditemui.

"Apa yang kita ada buat masa ini adalah 'vaksin' kekal duduk di rumah dan penjarakkan sosial," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!