Si bayi gorila berbulu kerinting!
KINIGI - Seekor anak gorila memiliki bulu kerinting di bahagian kepalanya mencuri perhatian seorang jurugambar hidupan liar profesional di Taman Nasional Gunung Berapi, Kinigi, Rwanda.
Menurut Daily Mail, jurugambar Britain, Kirsty Taylor, berkata, ketika mengembara di sekitar Taman Nasional Gunung Berapi, dia ternampak seekor anak gorila berusia tiga minggu yang sangat unik berada dalam pelukan ibunya.
"Kami hanya mempunyai beberapa minit untuk melihat keluarga kecil itu ketika dalam perjalanan kembali menuruni gunung.
"Saya terus mengarahkan lensa kamera kepada anak gorila itu yang sedang menikmati kehangatan pelukan ibu.
"Saya suka hubungan mata dan ekspresi di wajah anak kecil itu ketika melihat kami, mungkin tidak pernah melihat manusia sebelum ini dan tentu saja bayi itu memiliki rambut kerinting yang comel!" katanya.
Kirsty menjelaskan keinginan melihat hidupan liar gorila dipengaruhi oleh buku ensiklopedia haiwan dan menonton filem tarzan.
"Ketika usia lapan tahun saya menerima hadiah buku ensiklopedia haiwan. Saya mengetahui kehidupan mereka daripada buku itu dan mahu mendekati haiwan ini," katanya.
Foto anak gorila itu tular selepas jurugambar Kirsty memuat naik di laman sosialnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!