PKP Covid-19 tempoh bumi ‘berehat’
SUDAH lebih sebulan penulis tidak berdepan dengan kesesakan lalu lintas dan kerenah pemandu-pemandu yang biasanya menguji kesabaran ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
Situasi itu agak berbeza berbanding dua hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu dilaksanakan pada 18 Mac lalu. Pada pertengahan bulan itu, penulis berdepan kesesakan teruk di lebuh raya seperti menjelang cuti musim perayaan.
Ketika itu, penulis sendiri rasa marah dan geram dengan sikap segelintir warga kota yang mengambil kesempatan pulang ke kampung halaman walaupun tujuan utama langkah terbabit adalah untuk membendung penularan koronavirus (Covid-19) dan bukannya berseronok seperti ‘cuti-cuti Malaysia’.
Pada minggu pertama PKP, masih ada yang mengambil mudah arahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak keluar rumah.
Bagaimanapun, kenderaan mula berkurangan ketika memasuki PKP fasa dua selepas anggota tentera mula turun padang untuk bersama pasukan polis berkawal di sekatan jalan raya.
Bukan hanya di Malaysia, kebanyakan jalan utama di seluruh dunia juga tiada lagi kenderaan bertali arus susulan langkah sekatan perjalanan, lockdown dan pelbagai lagi istilah yang digunakan pemerintah serta negara untuk mencegah penularan pandemik yang telah menjangkiti lebih tiga juta orang di seluruh dunia.
Tahukah anda, sekatan perjalanan dan operasi sektor perindustrian yang dilaksanakan di bawah langkah lockdown untuk membendung Covid-19 berjaya mengurangkan pencemaran udara di seluruh dunia pada tahap tidak pernah berlaku sebelum ini.
Kebanyakan bandar utama yang berdepan masalah pencemaran udara paling buruk telah menyaksikan pengurangan bahan zarah berbahaya sehingga tahap 60 peratus sepanjang tempoh lockdown yang dikuatkuasakan selama tiga minggu.
Kajian itu dibuat oleh syarikat teknologi dan maklumat kualiti udara global, IQAir, berdasarkan 10 bandar raya utama seluruh dunia yang mempunyai kes jangkitan Covid-19 yang tinggi dan turut berdepan langkah lockdown.
Luar biasa
Keputusan penyelidikan mereka juga membandingkan tahap kepekatan zarah mikroskopik dikenali sebagai PM2.5 iaitu bahan pencemar berdiameter lebih kecil daripada 2.5 mikrometer.
Ia dianggap sangat berbahaya kerana boleh memasuki ke dalam paru-paru dan organ lain dan saluran darah sekali gus menyebabkan risiko kesihatan yang serius.
Laporan IQAir yang berpusat di Switzerland itu mendapati sebanyak tujuh daripada 10 bandar raya utama termasuk New Delhi, Seoul, Wuhan dan Mumbai menunjukkan peningkatan kualiti udara yang luar biasa.
Paling ketara, ibu negara India yang sering berada di tangga teratas bandar paling tercemar menunjukkan pengurangan tahap PM2.5 sebanyak 60 peratus bermula dari 23 Mac hingga 13 April lalu berbanding tempoh sama pada 2019.
Di bandar besar lain seperti Los Angeles pula menyaksikan rekod udara paling bersih selama lebih 18 hari bermula 7 hingga 28 Mac lalu dengan tahap PM2.5 menurun sehingga 31 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu dan menyusut 51 peratus daripada angka purata empat tahun lalu.
Sementara itu di Eropah, kota London dan Madrid turut menunjukkan peningkatan kualiti udara pada tahap sangat bersih. Laporan tersebut dikeluarkan bertepatan dengan ulang tahun ke-50 Hari Bumi pada 22 April lalu yang memfokuskan pada tindakan iklim.
Penulis laporan itu bagaimanapun menjangkakan pencemaran udara kembali meningkat apabila sektor ekonomi dan perindustrian pulih semula selepas ancaman pandemik Covid-19 semakin reda.
Penutupan operasi kilang dan menyekat perjalanan kenderaan bukan dilihat sebagai penyelesaian mampan untuk menangani perubahan iklim.
“Kita perlu membuat perbezaan yang jelas antara kualiti udara dan perubahan iklim. Apabila kita bercakap tentang kualiti udara, tiada lagi kesesakan lalu lintas dan penutupan operasi kilang yang membawa kepada pengurangan pencemaran nitrogen dioksida (NO2) dan pencemaran lain.
“Tetapi, untuk isu iklim ia lebih kompleks,“ kata saintis iklim, Wim Thiery daripada Vrije Universiteit Brussel di Belgium.
Kebimbangan paling jelas adalah pelepasan bahan pencemar akan kembali meningkat apabila seluruh dunia kembali normal.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pencemaran udara sudah lama menjadi krisis kesihatan awam global kerana tanpa kita sedar ia telah membunuh sehingga tujuh juta penduduk dunia setiap tahun.
Tempoh lockdown yang masih berterusan di lebih 20 negara sebenarnya memberi tempoh ‘berehat’ kepada bumi yang sudah berusia 4.54 bilion tahun. Setidak-tidaknya ada juga ‘impak positif’ Covid-19 kepada bumi dan manusia.
* Lissa Kamal ialah Wartawan Meja Global Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!