Ramadan bukan kuarantin

A
A
A

SURAH al-Baqarah, ayat 183 bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang sebelum kamu supaya kamu menjadi orang bertaqwa.”Apakah pandangan anda terhadap ayat ini bila anda membacanya? Adakah anda membacanya seperti berikut:

“Ayat ini mewajibkan umat Islam untuk berpuasa supaya menjadi orang yang lebih seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Ayat ini juga memberitahu kita tentang fakta sejarah dan fakta perbandingan agama bahawa puasa juga diwajibkan ke atas penganut agama lain seperti Yahudi dan Kristian.”Kalau bacaan anda seperti perenggan di atas, memang bagus sebab itu adalah salah satu cara ulama klasik menafsirnya. Anda juga bersifat kreatif kerana membuat tafsiran tersendiri dengan menghubungkannya dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang ingin melahirkan insan seimbang dan harmonis.

Sekarang cuba bandingkan bacaan anda dengan bacaan Ibn ‘Ashur dalam kitab At-Tahrir Wa At-Tanwir. Ibn ‘Ashur mengajak kita untuk bertanya tentang motif frasa ini iaitu: “Sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang sebelum kamu.” Mengapa frasa itu diselitkan dalam ayat di atas?

Al-Quran tidak sebut seperti berikut: “Wahai orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa supaya kamu menjadi orang yang bertakwa.” Ini tidak cukup maknanya. Kalaulah ayat itu hanya seringkas demikian, ia lebih serasi dengan roh FPK (Falsafah Pendidikan Kebangsaan). Hakikatnya tidak! Inilah salah satu sebab saya cadangkan penambahbaikan kepada FPK dengan memasukkan istilah kompetitif atau berdaya saing.

Ibn ‘Ashur menjelaskan bahawa salah satu motif ayat itu adalah membangunkan semangat bersungguh-sungguh dalam menunaikan ibadah puasa agar penganut agama lain tidak melebihi daripada mereka dari segi kehebatan beribadah.

Dengan kata lain, ayat itu mengingatkan umat Islam bahawa puasa bukan sekadar ibadah Muslimin. Ia juga adalah ibadah pelbagai penganut agama lain dalam format yang berbeza-beza.

Ayat al-Quran membuat peringatan itu demi mencabar umat Islam untuk bersaing dalam ibadah. Bandingkan puasa kamu dengan puasa penganut agama lain kalau kamu kata kamu adalah khairu ummah ukhrijat lin-naas! Tepat dengan ayat Fastabiqul Khairaat (Maka berlumba-lumbalah kamu kepada kebaikan).

BersaingPendidikan al-Quran amat menekankan pendidikan daya saing. Ia ingin melahirkan insan kompetitif, bukan sekadar insan seimbang dan harmonis.

Artikel Berkaitan:

Ibn ‘Ashur menekankan bahawa umat Muslimin memang umat yang cenderung untuk bersaing dalam mengerjakan ibadah. Para sahabat juga memang suka memperkasakan diri mereka supaya mereka menjadi lebih hebat daripada Ahlul Kitab dan mencantas kemegahan Ahlul Kitab atas mereka.

Ibn Kathir pula menjelaskan bahawa frasa perbandingan puasa dengan umat terdahulu diselitkan agar umat ini bersungguh-sungguh mengerjakan fardu puasa yang lebih sempurna daripada umat sebelum ini.

Falsafah pendidikan Ramadan memang menekankan pendidikan daya saing agar menjadi umat terhebat. Hanya umat kompetitif yang mampu menjadi rahmatan lil-aalamiin dan khalifah di muka bumi.

Perdana Menteri kita telah menasihati kita tentang perubahan dunia ke arah sebuah new normal. Apakah falsafah pendidikan kita mahu dikekalkan pada zaman 1980-an dengan FPK yang sudah berumur 30 tahun atau terus berubah untuk bersaing mencipta new normal yang menaikkan negara sebagai sebuah new superpower?

Insya-ALLAH kita boleh. Walaupun bidang lain, termasuk bidang pendidikan, kita tidak menunjukkan lagi daya saing yang mengatasi barat, tetapi sektor kesihatan dan pengawalan Covid-19 di bawah penyeliaan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah telah berjaya membuka mata dunia bahawa Malaysia mampu mendahului Amerika Syarikat!

Jadikan Ramadan sebagai bulan mendidik daya saing, bukan bulan kuarantin!

* Xifu Naser ialah Pensyarah Pemikiran Kreatif Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!