Pasukan pakar perubatan China dijangka tiba di Sabah esok
KOTA KINABALU - Lapan pakar perunding perubatan dari China dijangka tiba di Sabah esok untuk berkongsi pengalaman mereka menangani wabak koronavirus (Covid-19), menurut Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Datuk Frankie Poon Ming Fung.
“Kami mengalu-alukan kedatangan mereka dan teruja untuk bertemu mereka kerana percaya kami boleh mempelajari daripada pengalaman mereka menangani masalah pandemik ini semasa kunjungan dua hari ke sini,” katanya.
Frankie berkata, demikian kepada pemberita selepas menerima 48,000 unit topeng muka tiga lapisan, 2,000 unit topeng muka KN95, 900 unit topeng muka N95 dan lima alat termometer dari Persatuan Persahabatan Ma-Zhong Sabah di Wisma Tun Fuad Stephens, di sini hari ini.
Turut hadir Konsul Jeneral Republik Rakyat China Kota Kinabalu Liang Caide.
Sementara itu, Presiden persatuan itu, Dr Oh Ei Sun berkata, Ma-Zhong Sabah menghubungi pihak berkuasa berkaitan di China untuk mendapatkan sumbangan material ketika wabak Covid-19 di Malaysia mencapai tahap yang ketara.
Beliau berkata, persatuan itu sehingga kini telah memperoleh lebih RM250,000 sumbangan material yang telah diedarkan kepada pihak berkuasa tempatan yang paling memerlukan.
“Sempena persahabatan yang telah lama terjalin antara Sabah dan China, Ma-Zhong Sabah akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa relevan di Malaysia dan China untuk memerangi wabak itu, termasuk menghulurkan bantuan kepada pasukan pakar perunding perubatan China yang bakal tiba,” kata Ei Sun. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!