Nekad jalan kaki dari Shah Alam ke Tanah Merah
TANAH MERAH - Seorang isteri terkejut dengan tindakan nekad suaminya yang sanggup berjalan kaki dari Shah Alam, Selangor untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Lawang, Jedok di sini walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
Siti Nur Fatend Sefeai, 29, berkata, tindakan suaminya, Muhamad Nor Ramlee, 29, hanya diketahui menerusi status yang dimuat naik di Facebook semalam.
"Saya terus menghubungi suami dan dia memberitahu sudah berada di Ipoh, Perak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurutnya, dia tidak pasti sama ada suaminya itu berjalan kaki sepenuhnya atau ada menumpang kenderaan sepanjang perjalanan untuk pulang ke Tanah Merah ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa.
Katanya, sebelum ini suaminya bekerja sebagai tukang masak di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
"Kontraknya tamat pada 16 Mac lalu dan selepas itu dia bercadang untuk terus pulang ke rumah.
"Bagaimanapun dia terpaksa menangguhkan hasrat itu kerana masih belum menerima gaji dan kebetulan dua hari kemudian PKP dilaksanakan.
"Situasi itu menyebabkan suami tidak dapat pulang ke kampung seperti yang dirancang," katanya.
Siti Nur Fatend berkata, dia telah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk mendapatkan surat kebenaran mengambil suaminya tetapi polis tidak meluluskan permohonan berkenaan.
Katanya, dia reda dengan keputusan itu dan berharap suaminya tiba di Tanah Merah dalam keadaan selamat dan sihat.
Sementara itu, Sinar Harian masih belum dapat menghubungi Muhamad Nor.
Difahamkan, bapa kepada 3 orang anak yang berusia setahun hingga 12 tahun itu kini berada di Gerik dan menggunakan telefon bimbitnya itu untuk membaca aplikasi GoogleMaps bagi melancarkan pergerakan pulang ke Tanah Merah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!