Penduduk tak tahan dah!
KUALA SELANGOR - Hujan lebat lebih tiga jam mengakibatkan kira-kira 10 rumah penduduk di Batu 7 Ijok di sini, dilanda banjir kira-kira jam 5 petang, semalam.
Seorang penduduk Hairol Ariffin Mohd Tuhid, 36, berkata, kejadian banjir itu mengakibatkan beberapa rumah penduduk berhampiran sungai di kampung itu dinaiki air.
"Masalah ini saban tahun melanda penduduk kampung ini dipercayai berpunca daripada sistem saliran tidak terurus.
"Kami tak tahu sampai bila penduduk perlu berdepan masalah sama, apatah lagi kebanyakan mereka yang berisiko ini terdiri dalam kalangan warga emas," katanya.
Menurutnya, rumah bapa mertuanya, Mohd Tuhid Esnadi, 66, misalnya dinaiki air paras lebih buku lali pada bahagian dapur rumah.
Katanya, air dijangka naik dengan mendadak dan meminta pihak berwajib mengambil tindakan segera menangani masalah berkenaan.
"Biarpun sekarang musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami memohon pihak berwajib melakukan tinjauan dan mencari kaedah penyelesaian.
"Kita berharap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memasang lebih banyak pam dalam usaha mengurangkan paras air banjir yang melanda rumah penduduk," katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Cawangan Ijok, Emmy Hazrul Ishak turut meninjau keadaan banjir yang melanda kediaman penduduk.
"Kita berharap ada jalan penyelesaian menangani banjir di kawasan ini memandangkan tahun ini sahaja sudah dua kali banjir melanda kawasan ini," katanya.
Sinar Harian difahamkan sehingga jam 9 pagi tadi banjir di kawasan rumah penduduk masih belum surut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!