'Saya akan ingat saat ini seumur hidup'
SEREMBAN - "Perjalanan pulang ke kampung yang akan saya ingat seumur hidup," kata pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohamad Akmal Arif Zainol, 22, yang merupakan antara 790 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang pulang ke tiga negeri di utara malam tadi.
Pelajar dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Kampus Pandan Indah, Kuala Lumpur itu antara 11 kumpulan pertama pelajar USIM yang dibenarkan pulang.
Berkongsi pengalaman itu, Mohamad Akmal berkata, dia yang bertolak jam 11.50 malam selamat tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang, Kedah kira-kira jam 4.30 pagi.
“Alhamdulillah perjalanan kami lancar dan pematuhan kepada aspek keselamatan sentiasa diutamakan bermula dari sebelum bertolak, semasa perjalanan dan sebaik tiba di IPD Pendang.
“Selain pemeriksaan kesihatan dan dokumen perjalanan, setiap beg yang dibawa oleh kami akan disanitasi terlebih dahulu. Kami juga disusun dengan penjarakan selamat di dalam bas dan perlu sentiasa memakai topeng muka sepanjang perjalanan,” katanya.
Sharifah Nahidhah Syed Ibarahim, 22, pula menganggap doanya dan kawan-kawan untuk pulang ke kampung setelah hampir dua bulan terkandas di universiti akhirnya termakbul.
Katanya, dalam adik-beradiknya hanya dia seorang yang tidak dapat pulang apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Saya bersyukur selamat sampai ke rumah. Sedih juga rasa bila mengenangkan masih ramai rakan yang tak dapat balik.
“Harapnya beberapa hari lagi mereka semua boleh ke pangkuan keluarga,” katanya yang merupakan penuntut tahun empat Fakulti Perubatan.
Bagi penuntut tahun pertama Fakulti Perubatan dan Surgeri, Nurul Ilham Huda Redzuan, 19, dia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan semua pihak yang bertungkus-lumus menguruskan perjalanan pulang pelajar.
Katanya, dia menyedari tugas itu bukan sesuatu yang mudah dan perlu dihargai semua.
“Sebelum bertolak pulang pun kami melalui saringan yang ketat dan saya bersyukur keadaan kesihatan saya baik,” katanya.
Sementara itu, Majlis Perwakilan Pelajar USIM dalam satu kenyataan meminta pelajar yang menunggu giliran untuk pulang supaya bersabar dan sentiasa cakna dengan pengumuman dari universiti.
Pada masa sama mereka juga diharap sentiasa akur dengan sebarang keputusan terkini yang dibuat oleh kerajaan berkaitan proses penghantaran pulang pelajar IPT.
Kumpulan kedua penghantaran pulang pelajar USIM dijangka pada 30 April ini yang melibatkan pergerakan pelajar dari Kampus USIM Nilai ke beberapa destinasi yang terletak Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!