Demi Anisa, abah rela balik jalan kaki
TANAH MERAH - "Saya buat semua ini...kerana Puteri Sarah Anisa, 5," demikian luahan Muhamad Nor Ramlee, 29, yang nekad berjalan kaki diselang seli menumpang kenderaan dari Shah Alam, Selangor untuk pulang ke rumahnya di Kampung Lawang, Jedok di sini.
Muhamad Nor mendedahkan tindakan nekad itu dibuat selepas dia terkesan dengan kata-kata yang dilontarkan oleh anak keduanya itu ketika mereka berbual menerusi panggilan video pada 24 April lalu.
"Anisa ada tanya bila nak balik, saya cakap bas tak ada...macam mana nak balik jumpa Anisa.
"Dia (Anisa) balas balik, jadi Anisa tak boleh jumpa abah sampai bila-bila lah. Abah...baliklah jalan kaki," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Menurutnya, luahan hati Puteri Sarah Anisa itu membuatkan dia sebak sehingga sanggup nekad pulang ke kampung untuk bertemu dengan permata hatinya itu.
Katanya, pada 26 April lalu dia nekad keluar dari asrama dan berjalan kaki kerana tidak mempunyai kenderaan sendiri untuk ke Balai Polis Seksyen 7 bagi mendapatkan pelepasan dan memohon bantuan bagi menguruskan perjalanan pulang ke kampung atau ke penempatan transit gelandangan.
Muhamad Nor berkata, bagaimanapun usahanya menemui jalan buntu apabila balai itu telah berpindah dan kemudian dia cuba membuka aplikasi Terminal Bas Bersepadu Selatan (TBS).
Katanya, hasil semakan di aplikasi itu mendapati perjalanan dari TBS ke Gua Musang masih ada dan pada masa sama perkhidmatan kereta api dari Gua Musang ke Tumpat juga masih beroperasi.
"Jadi cukuplah dengan duit yang ada ketika itu, dapatlah saya pulang ke Tanah Merah selepas membuat kira-kira. Sebelum itu saya sudah 'terperangkap' selama 38 hari di asrama pekerja selepas kontrak sebagai tukang masak di kafeteria Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam tamat pada 16 Mac lalu," katanya.
Muhamad Nor berkata, dia terpaksa berjalan kaki ke TBS kerana bimbang wang berjumlah RM150 dalam dompetnya tidak cukup menanggung perbelanjaan pulang ke Tanah Merah sekiranya menggunakan perkhidmatan Grab.
Katanya, sejurus tiba di TBS dia mendapati hanya perkhidmatan bas ke arah utara yang masih beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Saya tanya dekat pemandu teksi dan tukang sapu boleh ke tumpang tidur di TBS jika terkandas dan mereka beritahu tidak boleh. Kemudian saya buat carian di Google untuk mendapatkan nombor telefon pusat gelandangan namun menemui jalan buntu.
"Masa kian suntuk ketika itu dan saya buat keputusan untuk ambil tiket ke Ipoh, Perak. Bagaimanapun bas itu berhenti di Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng pada jam 9.30 malam.
"Saya ada menelefon kawan-kawan untuk mendapatkan bantuan ketika itu (9.30 malam) namun memahami situasi PKP tidak membenarkan mereka untuk keluar kawasan. Jadi dengan baki wang yang ada berjumlah RM50, saya berjalan kaki dari RTC Gopeng ke Aman Jaya," katanya.
Muhamad Nor berkata, sejurus tiba di Aman Jaya kesemua perkhidmatan bas tidak beroperasi kerana PKP dan dia kemudian memuat naik beberapa status untuk memohon bantuan.
Katanya, selepas itu dia banyak mendapat panggilan daripada orang ramai untuk menghulurkan bantuan, namun pertolongan itu hanya boleh diberikan dari Gerik ke Jeli.
"Saya kemudian buat 'live' nak berjalan ke Gerik. Tiba-tiba mendapat panggilan daripada seorang pegawai polis dari Gerik dan minta saya jangan ke mana-mana bagi memudahkan bantuan diberikan.
"Selepas menunggu beberapa ketika datanglah pegawai tersebut mengambil saya dan menghantar sehingga ke sekatan jalan raya (SJR) di Gerik. Pegawai tersebut kemudian telah menahan sebuah lori yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Gong Badak, Terengganu untuk menumpangkan saya sehingga ke Tanah Merah," katanya.
Muhamad Nor berkata, dia selamat tiba di Balai Polis Batu Gajah pada jam 11 malam tadi sebelum isteri membawa pulang ke rumah ibu bapanya di Kampung Lawang.
Katanya, pagi tadi dia telah menjalani saringan Covid-19 di Klinik Batu Gajah dan diarahkan untuk kuarantin diri sendiri selama 14 hari.
"Saya berterima kasih kepada pegawai polis yang dikenali sebagai Khairul, pemandu lori serta Setiausaha Sulit Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed iaitu Ahmad Nazree Ramli.
"Tidak lupa juga kepada rakan-rakan, orang ramai dan keluarga yang banyak membantu saya sehingga berjaya pulang dengan selamat ke Tanah Merah," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Nekad jalan kaki dari Shah Alam ke Tanah Merah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!