Gagal patuhi SOP, pelajar Kolej Matrikulasi Labuan tidak dibenar pulang
LABUAN - Seramai 25 pelajar Kolej Matrikulasi Labuan yang terkandas di kampus ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dibenarkan keluar dari pulau bebas cukai itu untuk pulang ke kampung halaman mereka kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pergerakan pelajar yang ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi.
Pelajar itu kebanyakannya perempuan yang berasal dari Limbang, Sarawak dilihat turun dari bas kolej di Terminal Feri Antarabangsa Labuan di pusat bandar pada kira-kira 7 pagi ini, sebelum polis di terminal meminta mereka kembali semula ke kampus.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Labuan, Dr Fary Akmal Osman berkata, pelajar berkenaan gagal mengemukakan bukti atau surat pelepasan daripada Balai Polis Labuan dan perjalanan pulang mereka melalui bot telah diuruskan secara peribadi.
Katanya, mereka sepatutnya menunggu SOP dan mereka mesti terlebih dahulu menjalani pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh termasuk ujian swab sebelum dibenarkan pulang.
"Labuan masih diklasifikasikan sebagai zon kuning Covid-19 dan kami masih menunggu SOP daripada kerajaan pusat.
"Kami masih tidak pasti sama ada kami boleh atau tidak boleh membenarkan pelajar yang berada di zon kuning untuk pulang ke kampung mereka yang mungkin berada di zon merah, kuning atau hijau," katanya ketika dihubungi Bernama.
Dr Fary Akmal berkata, jawatankuasa itu sedang dalam proses mendapatkan kelulusan daripada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk urusan kepulangan pelajar yang masih terkandas di kampus masing-masing.
Selain Kolej Matrikulasi Labuan, pulau berkenaan juga menempatkan Kampus Antarabangsa Labuan Universiti Malaysia Sabah. Dianggarkan ribuan pelajar masih berada di asrama masing-masing.
Pergerakan pulang pelajar institusi pengajian tinggi yang terkandas berikutan penguatkuasaan PKP telah bermula semalam membabitkan universiti di zon tengah.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad dilapor berkata, mereka termasuk pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia dan beberapa universiti lain.
"Namun jika kampung mereka berada di zon merah Covid-19 atau di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan mereka tidak akan dibenarkan pulang.
"Sekiranya mereka mempunyai saudara-mara yang tinggal di kawasan zon hijau Covid-19, mereka akan dibenarkan pergi ke sana dan tinggal bersama saudara-mara sehingga kampung halaman mereka diisytihar bebas wabak itu," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!