Bangga bapa kerja tukang sapu
SINGAPURA - Seorang anak bangga memaklumkan bapanya seorang pekerja pembersihan yang baginya turut melaksanakan tugas penting seperti petugas barisan hadapan.
Syazwan Majid berkata, walaupun bukan seorang doktor atau jururawat, bapanya seorang yang rajin menjaga kebersihan di jalan raya, di taman sekitar Singapura sejak 40 tahun lalu.
Dia berasa bimbang, jika bapanya berpotensi terdedah wabak koronavirus (Covid-19) memandangkan sudah berusia.
"Saya berasa terharu melihat sisi luar biasa seorang lelaki bergelar ayah dan berbangga malah bertuah menjadi anak lelakinya.
"Tidak kira apa pandangan masyarakat terhadapnya." tulisnya di Facebook miliknya hingga tular di laman sosial.
Menurutnya, dia sering dipersenda oleh rakan-rakan hanya kerana bapanya sebagai tukang sapu.
"Apa yang ayah saya lakukan adalah pekerjaan yang mulia, sangat dihormati dan bermaruah walaupun sebahagian masyarakat berfikir sebaliknya.
"Tidak menjadi masalah kerana saya masih bangga dengan ayah saya atas apa yang dilakukannya untuk membesarkan keluarga saya dan tidak ada yang akan mengubahnya." katanya.
Menurutnya, dia mengakui dalam masyarakat moden, ramai yang memandang rendah pekerjaan sebagai tukang sapu.
"Bagaimanapun, kita lupa bahawa mereka sangat penting bagi negara kita terutamanya ketika negara dilanda wabak Covid-19 di mana mereka masih mempertaruhkan nyawa mereka untuk jaga kebersihan.
"Jadi, orang ramai diminta untuk berada di rumah agar kita tidak membahayakan keluarga dan orang tersayang." katanya.
Perkongsian Syazwan tular di laman sosial malah menyentuh hati netizen.
Dalam status Facebooknya, dia turut merakam gambar bapanya keluar bekerja ketika sahur.
Sehingga kini, lebih 26,000 tanda suka, 6,800 perkongsian dan 1,700 komen daripada netizen yang memberi sokongan kepada Syazwan malah menitipkan ucapan terima kasih kepada bapanya.
"Terima kasih kerana menjaga kebersihan, gadaikan nyawa anda walau negara dilanda Covid-19." tulis Angela.
"Jangan hiraukan mereka yang kutuk, saya bangga dan ucap terima kasih." kata Glee.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!