Sindiket pengedar dadah tumpas

Antara barang kes yang dirampas.
Antara barang kes yang dirampas.
A
A
A

SEREMBAN - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan menahan sembilan individu dan merampas dadah dianggarkan seberat 8.5 kilogram bernilai RM770,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Mohd Faisal Mohd Noor berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 21 hingga 40 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan di negeri ini dan Selangor yang diadakan sejak 22 hingga 25 April lalu.

“Tangkapan pertama diadakan pada 22 April lalu, semasa petugas ronda cegah jenayah Op koronavirus (Covid-19), telah menahan seorang lelaki di kawasan Marina View Villa, Telok Kemang, Port Dickson dan merampas syabu seberat 7.36 gram.

"Susulan tangkapan itu, pada hari berikutnya polis menahan seorang lagi lelaki di kawasan PD Marina, Telok Kemang.

“Lanjutan tangkapan itu, pada hari sama, dua lelaki ditahan di sebuah apartment Marina View Villas, Telok Kemang dan merampas syabu seberat 52.4 gram,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Faisal
Faisal

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut pihaknya turut menyita dua buah kereta dan dua buah motosikal dengan nilai sitaan berjumlah RM66,500.

Tambahnya, polis sekali lagi menjalankan serbuan pada 24 April di sebuah pangsapuri Nilai Santaria, Nilai dan merampas pil ekstasi dianggarkan seberat 4,095 gram.

Artikel Berkaitan:

Hasil soal siasat dilakukan, pihaknya sekali lagi membuat serbuan di sebuah rumah di Bandar Rinching Seksyen 5 Semenyih, Selangor dan berjaya menahan empat lelaki serta merampas syabu seberat 450 gram dan eramin 5, seberat 15 gram atau 40 biji.

“Soal siasat lanjut kemudiannya membawa kepada serbuan di sebuah kediaman di Menara Simfoni, Seri Kembangan, Selangor dan pihaknya merampas pil ekstasi seberat 3,906 gram atau 9,570 biji.

"Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap kesemua tangkapan didapati positif dadah jenis methamphetamine dan kesemua mereka turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan narkotik. Kesemua suspek kini ditahan reman bagi siasatan lanjut,” katanya.

Faisal berkata, walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, namun Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Negeri Sembilan sangat komited dan serius dalam misi membanteras dadah habis-habisan dengan memfokuskan tangkapan kepada pengedar dadah yang aktif.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!