Nikah sendirian di rumah sewa
SELAYANG - Seorang pemuda nikah secara 'online' di rumah sewanya tanpa kehadiran ibu bapa yang terperangkap di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) keenam.
Bapa pengantin lelaki, Sabri Ahmad, 51, berkata, dia meminta anaknya, Muhamad Haikal Luqman Sabri, 23 dan pasangan, Nurul farah A'aina Jafridin, 23, meneruskan pernikahan pada hari ini selepas tertangguh pada 3 April lalu.
Menurutnya, walaupun sedih namun dia dan isteri bersyukur kerana anak bongsunya itu selamat bernikah selepas menempuh pelbagai dugaan.
"Dia (Haikal) nikah sendirian di rumah sewanya di One Selayang jam 12.30 tengah hari tadi. Isterinya pula berada di rumah keluarga di Selayang Height. Kami tak dapat hadir kerana berada dalam kawasan PKPD Taman Sri Murni.
"Kesian melihatnya yang tidak ditemani ahli keluarga. Dia juga terpaksa melakukan akad sebanyak tiga kali disebabkan masalah gangguan internet," katanya.
Menurutnya, anaknya itu memang tinggal bersama keluarga namun pada Ahad lalu tidur di rumah sewanya sehari sebelum PKPD dilaksanakan pada 20 April.
"Bagi mengelak jika permohonan nikah diluluskan, saya minta dia terus tinggal di rumah sewa. Kami hanya serahkan baju nikahnya di pintu kawalan PKPD.
" Keputusan rayuan nikah 'online' itu diterima Khamis lalu selepas mematuhi syarat ditetapkan," katanya.
Pasangan itu adalah antara tujuh pasangan yang nikah secara 'online' di bawah Jabatan Agama Islam Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!