Kedah teroka industri solar

Mukhriz (tengah) bersama Tunku Puteri Intan Safinaz (tiga, kiri), Tunku Soraya (tiga, kanan) serta Myra Madihah (dua, kiri) ketika majlis pecah tanah projek ladang solar di Jabi.
Mukhriz (tengah) bersama Tunku Puteri Intan Safinaz (tiga, kiri), Tunku Soraya (tiga, kanan) serta Myra Madihah (dua, kiri) ketika majlis pecah tanah projek ladang solar di Jabi.
A
A
A

POKOK SENA - Kedah komited meneroka peluang meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dengan melancarkan Projek Solar Berskala Besar (LSS) 2 di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, tapak berkeluasan 8.9 hektar di Kampung Bendang Perang, Jabi ini merupakan projek ladang solar berskala besar pertama di Kedah.

Menurutnya, Kedah antara negeri paling sesuai dibangunkan projek solar susulan memiliki tenaga suria paling tinggi selain terdapat kilang pengeluaran panel solar terbesar di negeri ini.

“Disebabkan kita ada kemudahan, tiada alasan kenapa kita tidak menggunakan tenaga solar dalam penjanaan tenaga di Kedah. Kerajaan negeri menyokong penuh pembangunan tenaga boleh diperbaharui dalam negara dan akan cuba perluaskan di negeri ini,” katanya, pada sidang media, selepas majlis pecah tanah projek ladang solar berkapisiti 5.99MW, hari ini.

Majlis pecah tanah disempurnakan bersama Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah; Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah; serta Pengarah Jentayu Solar Sdn Bhd, Tunku Datin Myra Madihah Tunku Mudzaffar.

Mukhriz berkata, pembinaan projek ladang solar ini merupakan antara usaha menyokong objektif Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air dalam meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.

“Saya beri jaminan kerajaan negeri akan menyediakan fasiliti terbaik untuk menggalakkan industri tenaga solar ini untuk capai sasaran Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui sebanyak dua hingga 20 peratus menjelang 2025,” katanya.

Mukhriz (kiri) bersama Tunku Puteri Intan Safinaz, Tunku Soraya dan Myra Madihah mendengar taklimat ringkas berkaitan panel solar yang dipamerkan.
Mukhriz (kiri) bersama Tunku Puteri Intan Safinaz, Tunku Soraya dan Myra Madihah mendengar taklimat ringkas berkaitan panel solar yang dipamerkan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Kedah akan seiring dengan hasrat MESTECC meneroka projek-projek tenaga boleh diperbaharui berskala besar yang boleh dilaksanakan bawah tarif yang sama seperti bahan api fosil.

“Selain perolehan kebebasan tenaga, penggunaan solar sebagai sumber kuasa untuk membekalkan elektrik ke kediaman dan bangunan perindustrian, ia mengurangkan pengeluaran karbon dioksida, pemanasan global dan penipisan lapisan ozon,” katanya.

Mukhriz berkata, pihaknya sentiasa membuka ruang dan peluang kepada mana-mana pihak yang berhasrat memajukan negeri ini.

“Kita akan bekerjasama dengan MESTECC untuk membuka lebih banyak ladang solar seperti projek ini. Sebelum ini, kita luluskan projek ladang solar berskala besar di Kuala Ketil yang kini sedang berjalan,” katanya.

Menurutnya, pembinaan ladang solar memerlukan sebidang tanah yang luas, di mana Kedah memiliki kelebihan itu tanpa jejaskan hutan simpan.

“Antara kekangan dalam kelulusan projek seperti ini adalah kelulusan tanah, jika melibatkan tanah kerajaan, ia mungkin ada kekangan. Jika milik persendirian, keluluasan projek tidak menjadi masalah,” katanya.

Sementara, Myra Madihah berkata, Jentayu Solar menyasarkan penghasilan 274,002 MW tenaga solar sepanjang tempoh 21 tahun, dengan kadar tarif 38.90 sen/kilowatt sejam.

“Sebanyak 27,000 panel solar akan dipasang dan 84 penyongsang digunakan bagi projek ini, dengan anggaran 12,454 MW sejam sepanjang tempoh itu, bagi membolehkan bekalan elektrik disalurkan kepada lebih 500,000 unit kediaman sekitar Pokok Sena, dengan anggaran penggunaan 500kw sejam,” katanya.

Menurutnya, projek ini akan bermula hujung bulan ini dan dijangka beroperasi pada 28 September 2019.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!