Covid-19: Kes baharu satu digit pertengahan Mei

Noor Hisham
Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Malaysia dijangka akan mencatat kes baharu positif koronavirus (Covid-19) satu digit pada pertengahan Mei depan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, unjuran itu dapat dicapai sekiranya rakyat bersama-sama amalkan normal baharu.

"Alhamdulillah sudah seminggu kita merekodkan kes baharu dua digit. Dalam seminggu dua lagi iaitu pertengahan Mei kita dapat capai satu digit," katanya.

Menurutnya, norma baharu itu bukan hanya disarankan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja, namun juga seluruh rakyat di negara ini.

"Kalau tidak ada keperluan di luar, duduk rumah dan tidak akan ada jangkitan dari seorang kepada seorang," katanya.

Menurutnya, kes kebolehjangkitan yang mencatatkan 1,719 kes turut dijangka akan berkurangan.

"Kita jangka boleh kurangkannya menjadi bawah 1,000 ataupun 500. Itu yang penting," katanya.

Beliau berkata, walaupun lambat mencapai unjuran tersebut berbanding Thailand yang sudah merekodkan kes baharu satu digit selama dua hari berturut-turut, kerajaan berjaya mengekang penularan wabak itu.

Artikel Berkaitan:

"Kita ada kluster Perhimpunan Tabligh yang mana kesemua peserta itu pulang ke kampung halaman dan mukim pada 1 Mac.

"Saya dimaklumkan oleh rakan sejawatan di Brunei pada 9 Mac jadi kita sudah bertindak lewat 10 hari, bagaimanapun kita berjaya mengekangnya," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sekiranya tiada insiden perhimpunan tersebut yang telah dihadiri 16,000 orang, negara ini mungkin merekodkan kes positif lebih rendah berbanding Thailand.

"Itu jangkaan kita dan sekarang kes negara ini, 30 hingga 40 peratus kes ada kaitan dengan himpunan Sri Petaling," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!