Mesir lanjut darurat tiga bulan lagi
ISTANBUL - Presiden Abdel-Fattah al-Sisi melanjutkan darurat di seluruh negara selama tiga bulan lagi, lapor agensi berita Anadolu memetik warta rasmi negara itu.
Dalam dekri presiden, al-Sisi berkata, aspek kesihatan dan keselamatan Mesir kini dalam keadaan 'berbahaya'.
Darurat membolehkan pihak berkuasa mengambil langkah-langkah pencegahan lebih ketat, termasuk merujuk suspek keganasan ke mahkamah keselamatan, menguatkuasakan perintah berkurung dan menapis laporan akhbar.
Kementerian Kesihatan dan Penduduk Mesir mengesahkan 20 lagi kematian akibat Covid-19 semalam, menjadikan keseluruhan 337 orang. Jumlah kes berjumlah 4,782 manakala 1,236 pesakit sembuh.
Bulan lalu, Kaherah mengenakan perintah berkurung pada waktu malam bersama dengan langkah-langkah pencegahan lain.
Memandangkan beberapa negara melonggarkan sekatan pergerakan sempena Ramadan, Mesir yang mempunyai hampir 100 juta penduduk, turut mengambil pendekatan sama membenarkan pusat beli-belah dan kedai dibuka setiap hari.
Perintah berkurung bermula jam 9 malam berbanding sebelum ini jam 8 malam sehingga 6 pagi.
Sekolah, universiti, masjid dan kawasan pelancongan masih ditutup. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!