Menghidupkan Ramadan 2020

A
A
A

RAMADAN datang lagi, namun suasana kali ini agak berlainan kerana Malaysia masih dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPK) dek ancaman wabak koronavirus (Covid-19).

Pun begitu Ramadan tahun 2020 tetap perlu disambut dengan terus mendirikan kewajipan ibadah berpuasa di siang hari dan menghidupkan malam-malam Ramadan dengan solat sunat tarawih, qiyamullail dan tadarus al-Quran.

Biarpun amalan lazim yang dilakukan ketika menyambut Ramadan tahun-tahun sebelumnya tidak dapat dilakukan, namun asas dan tiang seri utama Ramadan mesti terus dihidupkan.

Sememangnya menjadi suatu yang menghibakan kerana ibadat solat di masjid dan surau tidak dapat dilakukan, malah elemen kebudayaan lain yang sinonim dengan Ramadan seperti bubur lambuk dan bazar Ramadan juga tidak dapat diteruskan.

Terlalu banyak rahmat, hikmah dan kelebihan Ramadan yang akan tersingkap sepanjang tempoh umat Islam menempuhinya pada tahun ini.

Ia kerana rata-rata umat Islam tidak lagi terbeban dengan kesibukan urusan harian, kesesakan jalan raya dan tidak lagi mengejar waktu bahkan segalanya bertumpu di rumah. Oleh itu waktu siang dan malam akan menjadi tempoh masa yang lebih santai dan tenang.

Puasa adalah satu ibadah. Ibadah bermakna kita tunduk, patuh serta taat. Dalam Islam, ibadah puasa ini didedikasikan sepenuhnya kepada ALLAH sebagai tanggungjawab seorang hamba kepada penciptanya. Begitu juga ibadah-ibadah sunat lain yang amat wajar diisi sepanjang Ramadan ini.

Dalam hadis yang masyhur, Rasulullah S.A.W bersabda, "Barang siapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, akan diampunkan baginya segala dosanya yang lalu."

Artikel Berkaitan:

Hadis masyhur yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA mencerminkan betapa Ramadan perlu dilalui dan ditempuhi dengan keazaman yang bersungguh-sungguh untuk mendapatkan ganjaran pahala daripada ALLAH dengan menghidupkan dan menghiasi malam-malam Ramadan ini dengan ibadah solat tarawih, berzikir, membaca al-Quran dan bertadarus.

Segalanya boleh dilakukan di rumah bersama ahli keluarga. Tidak bermakna bahawa jika surau dan masjid ditutup maka terhentilah semua amalan dan ibadah para hamba-Nya.

Surau dan masjid adalah satu institusi bagi umat Islam tetapi yang menghidupkan institusi surau dan masjid adalah individu Muslim itu sendiri dan kekuatan individu Muslim itu sebenarnya bermula di rumah dalam kalangan ahli keluarga itu sendiri.

Tempoh PKP ini biarpun perit, mesti dilihat dari sudut yang positif kerana terlalu banyak aktiviti boleh dilaksanakan bersama ahli keluarga di rumah.

Jadikanlah Ramadan di musim PKP sebagai satu titik permulaan kepada ahli keluarga ibu, ayah, suami, isteri dan anak-anak untuk bermuhasabah sesama kita dan mengharapkan satu keampunan dan kerahmatan akan dikurniakan oleh ALLAH kepada kita.

Umat Islam tidak boleh terlalu mengambil sikap untuk mengeluh kesah dan berduka cita tentang bagaimana nasib untuk berhari raya pada tahun ini tetapi apa yang perlu dilakukan adalah menghiasi hari-hari Ramadan dengan beribadah dan teruskan berdoa agar negara segera pulih dari krisis wabak kesihatan global ini.

Janganlah kita biarkan Ramadan tahun ini berlalu begitu sahaja tanpa kita memanfaatkan ruang-ruang masa yang ada untuk mengabdikan diri kepada ALLAH. Amatlah rugi jika Ramadan yang tiba kini kita biarkan berlalu pergi dengan perbuatan yang sia-sia.

Semoga dengan amalan, doa dan pengharapan kita ini, wabak Covid-19 segera berlalu serta kehidupan kembali normal, aktiviti ekonomi kembali berkembang dan negara kembali seperti sedia kala.

Kepada para petugas barisan hadapan, moga kalian terus cekal tabah berjuang untuk negara. Kepada umat Islam dan rakyat seluruhnya, derita Covid-19 yang telah bermula ini, insya-ALLAH pasti akan berakhir.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!