'Jangan heret masjid dalam kepartian'

Mujahid (dua, kanan) bergambar bersama tetamu yang hadir pada kongres itu.
Mujahid (dua, kanan) bergambar bersama tetamu yang hadir pada kongres itu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua pengurusan masjid di negara ini perlu memastikan tempat suci umat Islam itu perlu bebas daripada sebarang unsur politik kepartian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, unsur tidak sihat itu perlu dikekang kerana ia jelas boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Katanya lagi, kerajaan telah melakukan pelbagai perubahan bagi memastikan institusi masjid terus berada pada tahap tertinggi, namun masih wujud pengurusan serta aktiviti agama yang berunsurkan politik kepartian.

"Memang kita mengamalkan kebebasan (demokrasi), tetapi haruslah diingatkan apabila masuk sahaja ke dalam masjid unsur-unsur kepartian (harus) ditinggalkan.

"Jangan kita heret masjid yang menjadi tempat penyatuan ini dalam kepartian hingga boleh memusnahkan institusi tertinggi bagi umat Islam ini,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kongres Ekonomi dan Pengimarahan Masjid Peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Mujahid turut mengingatkan semua pengurusan masjid bersikap lebih terbuka.

Katanya, sudah tiba masanya untuk semua pengurusan masjid untuk bersikap lebih terbuka dan mesra terhadap semua pihak yang datang untuk menunaikan ibadah di tempat suci umat Islam itu.

Artikel Berkaitan:

"Masjid merupakan tempat untuk semua pihak sama ada penjenayah, penagih, pelaku maksiat serta golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) untuk bertaubat dan kembali kepada ALLAH SWT," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!