Covid-19: Masyarakat hilang waras jika berita palsu berleluasa
SHAH ALAM - Masyarakat akan hilang kewarasan dalam menilai kebenaran sesuatu berita yang diterima sekiranya penularan berita-berita palsu terus berleluasa.
Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, budaya penularan berita palsu akan mewujudkan kognitif negatif dalam kalangan masyarakat apabila timbulnya elemen panik, keterujaan dan permainan emosi yang akhirnya membawa kepada perkara negatif.
Menurutnya, apa yang lebih membimbangkan jika elemen-elemen tersebut berlaku dalam konteks yang lebih serius khususnya dalam isu wabak koronavirus (Covid-19) yang dihadapi ketika ini.
"Penularan dan isu-isu berkaitan dengan mekanisme pengawalan dan berita palsu, boleh mewujudkan satu ancaman keselamatan pada negara.
"Apa yang merisaukan adalah apabila masyarakat mula teruja untuk berkongsi berita yang tidak dipastikan sahih atau tidak benar.
"Ia akan menimbulkan satu keterujaan atau proses perkongsian lambakan maklumat negatif dan akan membawa kepada pemikiran kognitif negatif membuatkan masyarakat akan mudah terperdaya dengan emosi dan fakta-fakta yang tidak tepat.
"Masyarakat akan mula menjadi masyarakat yang mudah sensitif dan tidak boleh mengawal emosi mereka apabila berhadapan dengan berita-berita yang boleh membuatkan mereka hilang kewarasan ketika itu untuk merasakan berita itu benar atau tidak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.
Beliau berkata, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masyarakat lebih banyak yang berada atas talian (online) berbanding daripada segi fizikal, menyebabkan berlaku lambakan informasi data raya atau interaksi-interaksi yang dijalankan dalam media sosial.
Katanya, lambakan-lambakan data inilah yang boleh menimbulkan satu bentuk keterujaan yang mana akan mengakibatkan masyarakat lebih cenderung menggunakan saluran media sosial secara emosi dalam tempoh PKP.
"Sifat keterujaan itu boleh membentuk satu pemikiran negatif, dan menimbulkan satu masyarakat yang lebih mudah terperdaya dan terperangkap dengan isu-isu negatif.
"Ini seterusnya boleh membawa kemudaratan kepada negara khususnya apabila kita menghadapi Covid-19. Jadi masyarakat harus sedar dengan lebih berhati-hati, peka dan lebih sensitif," katanya.
Beliau menyarankan agar masyarakat mula melebarkan interaksi positif dan mewujudkan satu bentuk sokongan moral perkongsian berbaur positif dalam memastikan rantaian Covid-19 boleh terputus.
"Kita harus mula mencorakkan salah satu proses kognitif positif dengan mewujudkan satu corak interaksi secara positif dalam media sosial.
"Lambakan maklumat kognitif positif menjadi satu sokongan moral kepada barisan hadapan, fakta-fakta Covid-19, dan sokongan kepada golongan kurang bernasib baik serta maklumat atau cadangan untuk menambah baik sistem penyelenggaraan, pemantauan dan pengawalan Covid-19 di negara kita," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!