Tiada siapa dikecualikan

Laporan Sinar Harian semalam berkaitan kes membabitkan Timbalan Menteri Kesihatan dan Exco Perak yang didenda RM1,000 kerana melanggar PKP, minggu lalu.
Laporan Sinar Harian semalam berkaitan kes membabitkan Timbalan Menteri Kesihatan dan Exco Perak yang didenda RM1,000 kerana melanggar PKP, minggu lalu.
A
A
A

AWANG angkat tabik pada Pejabat Peguam Negara kerana dakwa mereka yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa pilih bulu. Tahniah juga pada pihak polis yang bertindak tegas.

Apabila Timbalan Menteri Kesihatan dan Exco Kerajaan Negeri Perak didakwa di mahkamah, mesejnya pada rakyat adalah undang-undang kita adil pada semua. Keadaan ‘antara dua darjat’ tak berlaku. Tak kira siapa yang boleh ingkar, baik rakyat biasa atau menteri sekalipun. Lagipun Timbalan Menteri berkenaan daripada Kementerian Kesihatan yang bersungguh-sungguh minta rakyat patuhi PKP.

Awang dapat rasakan kemarahan rakyat apabila tular foto Timbalan Menteri dan Exco berkenaan berjamu makan di sebuah sekolah tahfiz di Lenggong, Perak. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pun pernah ditanya dalam taklimatnya mengenai hal itu. Beliau kata tak ada siapa yang berada di atas undang-undang.

Ini amaran untuk semua. Ada selebriti yang dengan bangga tunjuk mereka ingkar PKP. Ada anak orang kenamaan yang pergi pasar raya suami isteri. Macam-macamlah gelagat orang yang anggap media sosial tempat mereka menunjukkan kelebihan. Perbuatan riak seperti inilah yang menimbulkan kemarahan dan kebencian rakyat.

Oleh sebab kita bertegas, keadaan kita jauh lebih baik daripada banyak negara lain. Macam kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kita sekarang sudah beralih pada fasa pemulihan. Alhamdulillah.

Kenapa benci pada Rohingya?

Awang naik gelisah tengok sentimen kebencian rakyat pada etnik Rohingya. Semakin hari semakin dahsyat di media sosial. Serangan netizen terhadap mereka sudah sampai pada tahap yang merungsingkan.

Muncullah macam-macam cerita pasal mereka. Ada juga sejarah etnik Rohingya yang dipos dalam media sosial. Banyak yang ditulis itu tidak betul atau sengaja untuk menimbulkan provokasi.

Artikel Berkaitan:

Mereka ialah etnik yang tertindas di Myanmar. Itu bukan rahsia lagi. Rejim Myanmar perlakukan mereka dengan kejam oleh sebab agama mereka. Kerajaan kita menerima mereka masuk atas dasar kemanusiaan, cuma Awang tak tahu berapa ramai daripada mereka yang masuk secara sah, berapa ramai yang tidak. Oleh sebab mereka ramai, mereka berkumpul di satu tempat. Sebahagian Selayang dah jadi ‘Myanmar Kecil’.

Mereka juga mula ambil tempat peniaga tempatan di Pasar Selayang atau berniaga secara haram di kawasan pasar itu. Banyaklah pula masalah yang timbul. Ada yang khabarnya mula ‘dating’ anak dara tempatan atau kahwin dengan mereka. Tambah lagi masalah.

Khabarnya ada pemimpin mereka yang dakwa menuntut kerakyatan Malaysia. Ada yang maki hamun rakyat tempatan. Ada pula yang degil dengan arahan pihak berkuasa tempatan. Tapi betulkah sesetengah berita yang ditularkan itu? Atau sengaja diada-adakan?

Pada pendapat Awang, benci sekadar benci tak ada gunanya, yang langgar arahan ambillah tindakan tegas. Mereka yang bagi masalah mungkin tak ramai. Jangan disebabkan nila setitik kita palit semua dengan keburukan. Wallahuaklam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!