Rahsia keenakan ayam tempayan Kempas

Mohd Zalani sedang membakar ayam di rumahnya di Kempas Baru, Johor Bahru, Johor.
Mohd Zalani sedang membakar ayam di rumahnya di Kempas Baru, Johor Bahru, Johor.
A
A
A

RESIPI istimewa keluarga turun-temurun yang menggunakan sembilan jenis rempah adalah antara rahsia penarik pelanggan peniaga ayam tempayan Kempas setiap kali menjelang Ramadan.

Pengusahanya, Mohd Zalani Mohd Top berkata, ayam tempayan itu juga menggunakan 10 bahan segar lain yang diperap selama hampir 24 jam bagi memastikan bahan ramuannya sebati dengan isi ayam.

Menurutnya, selepas diperap semalaman, ayam akan dibakar di dalam tempayan menggunakan arang selama dua jam.

“Ayam tempayan ini memang unik dan berbeza dengan ayam golek biasa.

“Ayam dibakar menggunakan tempayan khas agar dagingnya masak sekata,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya yang terletak di Kampung Sri Kempas 1, Kempas Baru dekat sini baru-baru ini.

Lelaki berusia 55 tahun itu berkata: “Kita menggunakan arang kerana aromanya lebih menyelerakan.”

Jelasnya, selain rasa ayam yang lembut dan berair di mulut ketika dimakan, keistimewaan menu juadah berbuka puasa itu terletak pada sos pencecahnya.

“Rata-rata maklum balas yang diterima daripada pelanggan memberitahu sos adalah ‘senjata’ utama ayam tempayan yang kami hasilkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zalani berkata, dia dan keluarganya berniaga di Bazar Ramadan Angsana Mall, Johor Bahru sejak enam tahun yang lalu.

Namun, katanya, situasi berbeza pada kali ini kerana dia dan keluarga hanya berniaga di rumah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ayam tempayan Kempas yang siap dipotong untuk disajikan sebagai juadah berbuka puasa.
Ayam tempayan Kempas yang siap dipotong untuk disajikan sebagai juadah berbuka puasa.

“Biasanya di bazar kita jual antara 100 hingga 150 ekor ayam sehari dengan menggunakan lapan tempayan.

“Sekarang kita hanya jual 30 hingga 40 ayam sehari kerana menggunakan tiga tempayan sahaja,” katanya.

Mohd Zailani berkata, ayam yang siap dipanggang akan dipotong mengikut kehendak pelanggan sama ada dipotong enam atau lapan bahagian.

“Sebelum ini kami menjualnya pada harga RM25 seekor tapi kali ini kami jual seekor RM23 dan separuh RM13.

“Kami jual murah pada bulan Ramadan kali ini kerana mahu menghargai pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, jualan ayam tempayan Kempas pada kali juga berbeza kerana dilakukan secara dalam talian menerusi Facebook.

Keadaan ayam yang dibakar di dalam tempayan khas dengan menggunakan arang.
Keadaan ayam yang dibakar di dalam tempayan khas dengan menggunakan arang.

“Mereka yang berminat boleh membuat tempahan awal sehari atau sebelum pukul 11 pagi,” katanya.

Jelasnya, ayam yang telah siap dipanggang kemudian akan dihantar oleh penghantar makanan ke rumah pelanggan.

“Caj penghantaran akan dikenakan antara RM3 hingga RM10 bergantung kepada lokasi di sekitar Johor Bahru.

“Caj ini bukan untuk kami tetapi sebagai upah kepada anak muda yang mencari rezeki menghantar makanan dalam tempoh PKP ini,” katanya.

Berkongsi lebih lanjut, Mohd Zalani berkata, perniagaannya juga menerima tempahan daripada badan-badan korporat untuk majlis seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri, kenduri kahwin dan lain-lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!