Keadaan kesihatan Kim Jong-un cetus tanda tanya

Jong-un (tengah) pernah muncul semula sambil bertongkat selepas 'hilang' selama hampir enam minggu pada 2014.
Jong-un (tengah) pernah muncul semula sambil bertongkat selepas 'hilang' selama hampir enam minggu pada 2014.
A
A
A

SEOUL - Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dilaporkan tidak mengalami sebarang penyakit serius.

Kenyataan itu dikeluarkan dua sumber pemerintah Korea Selatan semalam susulan laporan yang mengatakan Jong-un menjalani prosedur kardiovaskular dan kini dalam keadaan kritikal.

Kelmarin, media tempatan mendedahkan Jong-un sedang menerima rawatan selepas menjalani prosedur tersebut dan laporan itu dikeluarkan di tengah-tengah spekulasi mengenai kesihatan pemimpin terbabit berikutan ketiadaannya semasa upacara memperingati ulang tahun kelahiran mendiang datuknya, Kim Il Sung pada 15 April lalu.

“Kami tiada perkara yang mahu disahkan dan tiada pergerakan khas dikenal pasti di Korea Utara setakat ini,” kata jurucakap Rumah Biru yang merupakan kediaman rasmi Presiden di Seoul.

Moon Chung-in yang juga Penasihat Keselamatan kepada Presiden Moon Jae-in juga mengesahkan beliau tidak mendapat sebarang perkhabaran tentang kesihatan Jong-un setakat ini.

Agensi berita Yonhap turut mendakwa laporan Jong-un sedang kritikal sebagai ‘tidak benar’.

Terdahulu, portal Daily NK memaklumkan Jong-un sedang berehat di sebuah vila di Gunung Kumgang dekat daerah Hyangsan selepas keluar dari hospital pada 12 April lalu.

“Tabiat merokok berlebihan, masalah obesiti dan keletihan melampau adalah punca utama Jong-un perlu menjalani rawatan kardiovaskular dengan segera,” lapor portal itu memetik sumber di Pyongyang.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, CNN turut melaporkan Washington sedang ‘memantau maklumat risikan’ berikutan keadaan kesihatan Jong-un didakwa semakin buruk selepas menjalani pembedahan, namun tidak memberikan butiran lanjut tentang perkara tersebut.

“Tiada siapa tahu apa yang sebenarnya berlaku di Pyongyang. Sebelum ini, berita kematian bapanya, Kim Jong Il hanya diumumkan selepas beberapa hari. Jong-un juga pernah ‘hilang’ sebelum muncul semula secara tiba-tiba.

“Tetapi, kehilangannya pada kali ini lebih mendapat perhatian ramai,” kata Martyn Williams ahli gabungan laman penyelidikan 38 North.

Difahamkan, pemimpin Korea Utara terbabit tidak muncul di khalayak ramai sejak mempengerusikan politburo Parti Pekerja pada 11 April lalu.

Pada 2014, Jong-un pernah ‘hilang’ selama hampir enam minggu sebelum muncul kembali sambil bertongkat dan beberapa hari kemudian agensi risikan di Seoul mendedahkan beliau menjalani pembedahan untuk membuang sista pada buku lalinya. - AFP

ARTIKEL BERKAITAN: Media Korea Utara ‘kunci mulut’

Pembelian panik landa Pyongyang

Trump selar laporan CNN tentang kesihatan Jong-un

Di mana Kim Jong-un?

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!