[LAPORAN KHAS] Satu persatu penerbangan dibatalkan

Sharifah Munirah tidak bertugas sejak 28 Mac lalu selepas banyak penerbangan dibatalkan.
Sharifah Munirah tidak bertugas sejak 28 Mac lalu selepas banyak penerbangan dibatalkan.
A
A
A

SHAH ALAM - Setelah dua tahun empat bulan bergelar pramugari Malaysia Airlines (MAS), Sharifah Munirah Syed Hethir kini hanya menghabiskan masa di rumah gara-gara pandemik Covid-19 yang menyebabkan operasi syarikat penerbangan di serata dunia tergendala.

Tidak lokek berkongsi cerita, wanita berusia 27 tahun yang menetap di Bandar Sunway dekat sini itu mengakui terlalu rindu untuk kembali bertugas.

“Saya tidak bertugas sejak 28 Mac lalu. Sepatutnya dari akhir bulan Mac hingga April saya ditugaskan untuk penerbangan antarabangsa seperti ke Melbourne, Dakha, Hong Kong dan Seoul, namun satu persatu penerbangan dibatalkan dan saya diminta standby di rumah.

“Sejak berada di rumah, saya banyak habiskan masa memasak dan mencuba pelbagai resipi baharu,” kata Sharifah Munirah yang tidak pasti bila akan dipanggil bekerja semula.

Menceritakan detik penerbangan terakhirnya sebelum krisis Covid bertambah teruk, Sharifah Munirah berkata, pada awal Mac lalu beliau berada di Incheon, Korea Selatan selama dua malam.

“Ketika itu, saya berasa agak gusar untuk pergi bertugas kerana kes Covid-19 di Korea Selatan adalah antara yang paling tinggi di dunia selepas China.

“Namun, atas dasar tanggungjawab saya tetap pergi bertugas dan alhamdulillah, semuanya selamat,” katanya.

Sementara itu, menyentuh isu gaji, Sharifah Munirah berkata, setakat ini tiada pemotongan gaji dilakukan dalam kalangan kru kabin MAS dan gaji masih dibayar seperti biasa.

Artikel Berkaitan:

Berkenaan tawaran cuti tanpa gaji oleh pihak MAS, Sharifah Munirah berkata, ia terbuka kepada sesiapa yang berminat dan mereka harus membuat permohonan.

“Tiada paksaan, namun saya perhatikan pramugari yang mempunyai anak kecil lebih cenderung memohon cuti tanpa gaji kerana mereka boleh meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga,” katanya.

Menurut Sharifah Munirah, jumlah penerbangan domestik MAS kini telah jauh berkurangan jika dibandingkan sebelum wabak melanda.

“Penerbangan antarabangsa juga terbatas kerana kebanyakan negara tidak membenarkan penerbangan luar memasuki negara mereka. Namun rescue flight dan penerbangan kargo MAS yang diluluskan untuk terbang masih beroperasi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!