Jualan biskut raya jatuh mendadak
SABAK BERNAM - Pengusaha biskut raya di daerah ini terpaksa menanggung kerugian besar berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 12 Mei ini.
Pengusaha, Noor Hashida Suhood, 38, berkata, pendapatannya pada tahun ini merudum melebihi 80 peratus dan disifatkan paling buruk sejak mengusahakan perniagaan itu kira-kira 20 tahun lalu.
Perkembangan itu juga menyebabkan dia terpaksa menurunkan harga sehingga RM5 pada setiap balang iaitu hanya mengambil kos modal berbanding musim perayaan sebelum ini.
"Misalnya biskut raya tahun lalu dijual pada harga RM18 terpaksa dijual RM13 sahaja disebabkan ingin menghabiskan stok biskut yang sukar dijual pada waktu ini," katanya kepada Sinar Harian.
Noor Hashida berkata, dia mula menyiapkan 50 jenis biskut raya tahun ini bermula sejak Februari lalu.
Katanya, sebanyak 3,000 kotak biskut raya yang setiap satu kotak mengandungi 24 balang biskut raya sudah dihasilkan, namun 200 kotak sahaja terjual ketika ini.
"Biasanya seminggu sebelum Ramadan, saya mampu menjual lebih 30 kotak setiap hari, namun hampir seminggu Ramadan ini, jualan merosot teruk apabila menjual 200 kotak sahaja," katanya.
Menurut Noor Hashida, dia kini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada jualan dalam talian bagi urusan pembelian biskut raya.
"Jualan dalam talian pula tidak mendapat sambutan seperti jualan ekspo dan ini menyebabkan biskut raya tidak mendapat sambutan.
"Biasanya kami bergantung kepada pemborong dan peniaga biskut raya tetapi dalam musim PKP, mereka tidak dapat menjualnya kepada pelanggan," katanya.
Sehubungan itu, dia turut merayu kerajaan membenarkan pengusaha biskut raya yang beroperasi di premis perniagaan dapat membuka perniagaan masing-masing mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti di premis kedai makan lain.
"Kami memohon kerajaan beri kelonggaran untuk kami beroperasi disebabkan rata-rata pengusaha bergantung kepada punca pendapatan ini sepenuhnya," katanya.
Seorang lagi pengusaha, Sallehuddin Maswan, 28, berkata, keadaan itu juga turut menyebabkan lambakan biskut raya berikutan pelanggan terpaksa membatalkan tempahan yang dibuat sebelum PKP pada saat-saat akhir.
Katanya, dia sudah menyediakan lebih 1,000 kotak biskut raya dan ketika ini hanya mampu menjual kira-kira 200 kotak sahaja.
"Kami pun terpaksa menurunkan harga jualan iaitu RM13 sahaja bagi semua 150 jenis biskut raya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!