KPDNHEP Johor periksa 2,772 premis pastikan bekalan makan cukup

A
A
A
JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor memeriksa 2,772 premis di seluruh negeri sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa sehingga semalam bagi memastikan barangan keperluan mencukupi.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, usaha itu melibatkan 2,335 peruncit, 283 pemborong dan 85 pengilang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati barangan keperluan mencukupi antaranya barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung gandum.

"Pemeriksaan khas ini turut memberi tumpuan terhadap barangan keperluan asas seperti barang kering, barang segar, barangan sedia bungkus, minuman dan barangan keperluan lain.

"Antara contoh barangan yang diperiksa termasuk beras, roti, susu tepung, sardin, biskut, mi segera, ayam segar, telur ayam, kopi, teh, sayur, topeng muka, sanitizer, tisu tandas, lampin bayi, ubat dan barang-barang lain," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan di lapangan, KPDNHEP Johor tidak menemukan sebarang kenaikan harga secara mendadak atas mana-mana barang makanan.

Jika mereka ingkar ujarnya, tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 atas kesalahan mencatut sekiranya pihak terbabit didapati melakukan kesalahan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan industri terbabit yang dibenarkan beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ketika ini wajib mematuhi syarat-syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi sektor masing masing.

Jelasnya, kegagalan syarikat mematuhi SOP akan menyebabkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta-merta dan dikenakan tindakan undang-undang.
Artikel Berkaitan:


"Kerajaan negeri juga ingin mengingatkan pihak majikan untuk sentiasa memastikan pekerja-pekerja mereka mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan dengan menjaga jarak sosial sekurang-kurangnya 1 meter, basuh tangan dengan kerap menggunakan sabun atau sanitizer dan gunakan topeng muka di kawasan tumpuan ramai," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!