Pemandu lori didenda RM3,450, alih pengadang batu, ingkar PKP
KUALA LUMPUR - Akibat melakukan khianat dengan mengalihkan pengadang batu milik Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seorang pemandu lori didenda RM3,450, oleh Mahkamah Majistret Selayang di sini, hari ini.
Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu ke atas Yap Cheng Ho, 29, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa terhadapnya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,500 atau penjara dua bulan bagi pertuduhan melakukan khianat, manakala denda RM950 atau penjara sebulan atas kesalahan ingkar PKP.
Tertuduh didakwa melakukan khianat dengan merosakan pengadang batu yang anggaran kerugian RM300 di laluan pintas Taman Garing Utama, Gombak di sini, pada 7.05 malam, 23 April lepas, mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan penjara tidak lebih daripada lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, semasa seorang anggota polis menjalankan Ops Covid-19 di sekitar kawasan tersebut, beliau menerima maklumat daripada seorang penduduk bahawa ada dua lelaki yang salah seorangnya adalah tertuduh cuba mengalihkan pengadang batu di laluan pintas menyebabkan pengadang batu pecah.
Apabila anggota polis sampai ke kawasan tersebut, tertuduh (Cheng Ho) telah ditangkap oleh seorang lelaki yang merupakan penduduk taman itu manakala seorang lagi telah melarikan diri.
Bagi pertuduhan ingkar PKP, bapa dua anak itu mengaku bersalah keluar rumah tanpa alasan munasabah pada tempat, masa dan tarikh sama, mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 11 peraturan sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, M S Arunjothy memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran, kerana tertuduh telah melanggar PKP manakala peguam Mohd Riza Zakaria yang mewakili tertuduh merayu hukuman denda minimum, kerana anak guamnya penanggung tunggal keluarga.
“Anak guam saya tidak tahu tindakan mengalihkan pengadang batu bagi membolehkan lorinya lalu di kawasan itu adalah satu kesalahan. Dia juga tidak mengetahui pengadang batu adalah milik MPS. Anak guam saya juga menyesal atas perbuatannya itu,” katanya.
Di mahkamah sama, seorang wanita warga Indonesia, Hernita, 48, dipenjara 14 hari selepas mengaku bersalah dengan sengaja berada dalam kawasan tempat jangkitan tanpa alasan munasabah di pasar harian Selayang, Gombak di sini pada 12.20 tengah hari, 24 April lepas dan dia diperintahkan menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap 24 April.
Bagaimanapun wanita itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tidak memiliki pasport pada tarikh, tempat dan masa sama, mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan boleh juga dikenakan tidak melebihi enam sebatan.
Mahkamah menetapkan 11 Jun untuk sebutan kes bagi semakan pasport. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Arunjothy, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!