Status Liga-M dijangka diketahui dalam masa terdekat

Ismail Sabri pada sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra hari ini.- Foto Bernama
Ismail Sabri pada sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Status saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 yang ditangguh sejak 16 Mac susulan penularan pandemik Covid-19, dijangka diketahui dalam tempoh terdekat.

Ia selepas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengesahkan pihaknya sudah menerima permohonan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi meneruskan saingan bola sepak berprestij tempatan itu.

Menurut Ismail Sabri, segala persoalan dan permasalahan yang timbul berkaitan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dibincangkan bersama kesemua kementerian dalam mesyuarat esok.

“Saya sudah menerima surat (permohonan rasmi) daripada Menteri Belia dan Sukan untuk kita putuskan dari segi bola sepak...liga bola sepak sama ada boleh atau tidak boleh dilaksanakan. Seperti saya umumkan sebelum ini dalam masa terdekat tidak boleh, jadi persoalannya bila.

“Semua perkara yang berkaitan dengan kementerian akan dibincangkan esok. Kalau saya tidak umumkan esok mungkin saya umumkan hari Jumaat,” katanya pada sidang media harian PKP, di sini hari ini.

Semalam, Ismail Sabri berkata kerajaan sedia memberi kebenaran untuk saingan Liga-M 2020 berlangsung selepas PKP ditamatkan, dan mungkin boleh disambung semula selewat-lewatnya pada November depan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti aksi dijalankan tanpa penonton.

FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menangguhkan semua aktiviti bola sepak di bawah kelolaan mereka sejak 16 Mac lepas susulan penularan Covid-19 selain untuk mematuhi penguatkuasaan PKP.

Jumaat lepas, FAM mengesahkan menghantar permohonan rasmi melalui Kementerian Belia dan Sukan kepada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Permohonan itu untuk mendapatkan pandangan dan kelulusan menggunakan SOP yang akan dipatuhi, bagi membolehkan saingan Liga-M 2020 diteruskan selain memberi gambaran jelas bahawa kedua-dua entiti bola sepak negara itu bersedia untuk meneruskan kempen liga berkenaan.

Untuk rekod, beberapa negara antaranya Korea Selatan, Itali dan Jerman yang mempunyai jumlah kes jangkitan Covid-19 lebih tinggi berbanding Malaysia, telah mula memberi kelonggaran kepada aktiviti bola sepak profesional di negara masing-masing. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!