154 peneroka hutan Ulu Rening didenda RM600

Laporan Sinar Harian hari ini.
Laporan Sinar Harian hari ini.
A
A
A

KUALA KUBU BHARU - Seramai 154 individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah kawasan hutan di Ulu Rening, Batang Kali, Hulu Selangor, semalam, masing-masing didenda RM600 atau penjara 15 hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kesemua mereka termasuk 78 wanita berusia antara 19 dan 61 tahun mengaku bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim, Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 kerana berhimpun di sebuah kawasan penempatan di Ulu Rening pada jam 5 petang semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: PKP: Penempatan di kawasan hutan teroka diserbu polis

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran mengambil kira faktor keseriusan kes dan trend semasa hukuman bagi pelanggaran PKP.

Bagaimanapun, kesemua tertuduh yang diwakili peguam Amy Zaimi, merayu hukuman ringan dengan alasan mereka berada di kawasan tersebut sebelum PKP dilaksanakan.

“Mereka berada di situ bertujuan untuk menjalan aktiviti pembersihan tanah bagi kegiatan pertanian dan mereka memohon maaf,” katanya.

Sementara itu, di mahkamah sama lima lelaki masing-masing didenda antara RM800 dan RM1,000 atau penjara sebulan selepas mereka mengaku bersalah bergerak dari satu tempat ke tempat lain termasuk bekerja tanpa kebenaran pegawai yang sah.

Kesemua mereka yang berusia antara 23 dan 35 tahun itu didakwa melanggar PKP di sekitar Kuala Kubu Bharu pada 9 dan 17 April lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!