22 pasangan pengantin di Kulim dibenarkan nikah bersyarat

Muhammad Suhaimi menyerahkan sijil nikah kepada pasangan pengantin.
Muhammad Suhaimi menyerahkan sijil nikah kepada pasangan pengantin.
A
A
A

KULIM - Seramai 22 pasangan pengantin di daerah ini dibenarkan bernikah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mematuhi beberapa syarat tambahan ditetapkan.

Pegawai Agama Daerah Kulim, Syeikh Muhammad Suhaimi Saleh berkata, antara syarat dikenakan terhadap pengantin termasuk tidak berjabat tangan semasa lafaz ijab dan kabul dan mematuhi jarak sosial selain tidak dibenarkan diadakan upacara membatalkan wuduk dan bergambar.

MUHAMMAD SUHAIMI
MUHAMMAD SUHAIMI

Menurutnya, setiap pasangan pengantin yang ingin bernikah hanya dibenarkan hadir dengan tiga orang individu iaitu pengantin perempuan, pengantin lelaki dan wali.

"Kita melaksanakan dalam majlis amat ringkas mengikut kesesuaian dengan keadaan kita sekarang yang sedang memerangi koronavirus (Covid-19) dengan mengutamakan perkara wajib seperti rukun nikah.

"Setiap pasangan akan mengambil masa dalam tempoh kira-kira 20 minit secara bergilir-gilir.

"Setelah selesai akad nikah suami akan membacakan taklik, semua digalakkan menggunakan penutup muka dan mematuhi langkah keselamatan sepanjang pernikahan berlangsung," katanya.

Menurut Muhammad Suhaimi, pihaknya mengutamakan permohonan nikah yang telah diluluskan sebelum PKP yang membabitkan pasangan dalam negeri sama.

Artikel Berkaitan:

Hanya tiga individu dibenar hadir semasa upacara akad nikah terdiri daripada pengantin lelaki, pengantin perempuan dan wali.
Hanya tiga individu dibenar hadir semasa upacara akad nikah terdiri daripada pengantin lelaki, pengantin perempuan dan wali.

"Kita mematuhi arahan dalam waktu PKP ini di mana proses pernikahan hanya boleh dilakukan oleh pegawai agama daerah berbanding sebelum ini dikendalikan imam atau jurunikah yang telah ditauliahkan.

"Pergerakan pasangan pengantin pula perlu dilakukan dengan kebenaran pihak berkuasa.

"Pasangan yang bersetuju mematuhi semua garis panduan, kita akan tetapkan tarikh untuk pernikahan dijalankan di pejabat.

"Setakat ini, kita menerima persetujuan lapan pasangan untuk melangsungkan pernikahan pada 3 Mei nanti dan empat pasangan lagi pada 5 Mei nanti," katanya.

Menurutnya, hampir 100 pasangan bakal pengantin di daerah itu membuat permohonan bernikah antara Mac hingga April 2020 yang tertangguh akibat PKP yang dikuatkuasakan kerajaan untuk membendung Covid-19.

"Kita akan sentiasa menghubungi dan mengenal pasti mana-mana pasangan yang bersetuju untuk melangsungkan akad nikah dalam tempoh ini dengan tujuan mahu memudahkan urusan mereka kerana ada yang telah tertangguh sehingga lebih sebulan," katanya.

Setakat ini katanya, tiada permohonan pernikahan baharu dibenarkan sepanjang PKP.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!