Kerajaan perlu bantu jemaah tabligh 'terperangkap' di India
Jemaah tabligh berkenaan, Nik Mohd Azimin Mohamed Nor, 40, dari Kok Lanas menaiki penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke India pada awal Mac lalu untuk menyertai perhimpunan tabligh negara itu, kini tidak dapat dihubungi menyebabkan keluarga tersebut resah berhubung keadaannya di sana.
Adiknya, Nik Mohd Fuad, 35, yang tinggal di Keramat, Kuala Lumpur berkata, abangnya sempat mengirimkan gambar kepada kakak mereka, Nik Nur Zairina, 37, dan meminta mendoakan perjalanannya itu.
“Kami terima WhatsApp daripada seorang kawan yang bersama dengan abang memberitahu mereka sudah tiba di India dan mengatakan mereka berpecah, sebahagian ke Tamil Nadu dan sebahagian lagi ke Kashmir.
"Itu sahaja yang terakhir kami tahu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Katanya lagi, anak kedua daripada tujuh beradik itu tidak mempunyai akuan Facebook dan telefon bimbitnya juga tidak dapat dihubungi sejak tiba di India.
Jelasnya, kali terakhir beliau berjumpa dengan abangnya kira-kira dua bulan lalu dan berhubung dengan kawannya yang bersama-sama ke India tetapi rakannya itu sudah pun selamat pulang ke Malaysia baru-baru ini.
"Menurut kawannya, kumpulan tabligh yang pergi ke Kashmir berjaya pulang tetapi mereka yang pergi ke Tamil Nadu pula terkandas.
“Jadi, keadaan abang kini tidak diketahui statusnya, yang kami tahu dia dikenakan kuarantin kerana koronavirus (Covid-19).
"Ada juga terbaca di Facebook mengatakan mereka ditahan tetapi tidak pasti pula sama ada ditahan di lokap atau di mana-mana,” katanya.
Bapa kepada seorang anak itu terlibat dengan tabligh sejak usia belasan tahun, mengikut jejak arwah datuk, Allahyarham Raja Daud Raja Ibrahim serta aktif dengan kumpulan berkenaan sejak berpindah ke Selayang, Selangor dan bekerja di sebuah kedai dobi.
Menurutnya, dia pernah terlihat satu rakaman yang tular memaparkan kumpulan tabligh terperangkap di India dan terlihat kelibat seakan-akan abangnya namun tidak dapat dipastikan perkara itu serta tidak menyimpan rakaman terbabit.
Buntu dengan keadaan itu, Nik Mohd Fuad sekeluarga menyerahkan kepada kebijaksanaan kerajaan Malaysia dan merayu agar adiknya dapat dibawa pulang.
Selain mereka adik-beradik, bapa mereka, Mohamed Nor Ali, 73, yang tinggal di Kok Lanas di sini turut ternanti-nanti kepulangan anaknya dengan penuh harapan.
“Kami tidak boleh memandai-mandai bertindak kerana perkara ini membabitkan dua negara tetapi besar harapan kami mengharapkan abang akan pulang dengan selamat.
“Dalam keadaan ini kami reda terhadap apa-apa pun yang berlaku kerana dia pergi atas kehendak sendiri tetapi kami tetap beroda agar dia pulang dan dapat berhari raya bersama-sama,” katanya turut memberitahu ibu mereka, Wan Zainab Raja Daud meninggal dua tahun lalu.
Nik Mohd Azimin dikesan antara tujuh nama yang tersenarai dalam borang tahanan oleh Polis Tamil Nadu pada 8 April lalu.
Mereka dipercayai ditahan apabila dikatakan visa tamat tempoh ketika menjalani kuarantin susulan ancaman wabak koronavirus (Covid-19) di India.
Enam lagi ialah Mohammad Amirul Hafiz Mohd Hussin, 26, (Melaka); Muhammad Zaid Muhamad Nasir, 21, (Kedah); Abdul Rahman Mad Yazid, 28, (Terengganu); Mohd Razali Ab Rahman, 59, (Kelantan); Muhammad Umair Zabri, 23, (Pulau Pinang) dan Wan Sulaiman Wan Ahamad, 31, (Selangor).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!