Jakim nafi keluar garis panduan sambut Aidilfitri
PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan mengeluarkan garis panduan sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti tular di media sosial.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya, Jakim berkata, pihaknya tidak mengedarkan sebarang dokumen mengenai panduan sambutan Aidilfitri dalam tempoh PKP.
“Sebarang makluman yang tidak dikeluarkan melalui saluran rasmi Jakim adalah dianggap tidak sah,” kata kenyataan itu hari ini.
Garisan panduan sebanyak tiga muka surat yang turut mempamerkan logo Jakim itu sebelum ini tular di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp sejak pagi tadi.
Berdasarkan dokumen yang tersebar, garis panduan itu kononnya disediakan untuk memberi penerangan kepada masyarakat khususnya umat Islam mengenai kaedah sambutan Aidilfitri.
Ia merangkumi kaedah solat sunat Aidilfitri, takbir hari raya, rumah terbuka, ziarah raya dan ziarah kubur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!