KKM pertimbang usul buka semula taska
PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertimbangkan usul pembukaan semula taska dan pusat jagaan kanak-kanak berikutan sektor ekonomi telah mula beroperasi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, usul tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) pagi esok.
"Ada keperluan untuk membuka semula taska dan perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat esok," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di KKM di sini hari ini.
Menurutnya, garis panduan telah disediakan oleh KKM dan perlu dipatuhi oleh semua pihak.
"Taska, restoran mahupun institusi perlu patuhi garis panduan.
"Kalau boleh patuhi, tiada masalah. Itu yang kita kena pastikan terlebih dahulu," katanya.
Sebelum ini, taska antara yang turut diarahkan tutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara sejak 18 Mac lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!