Suami isteri kecewa gambar anak disalah guna
MELAKA TENGAH - Ibu bapa kepada bayi istimewa yang tiada tulang belakang kesal dan terkilan apabila gambar anak mereka digunakan oleh individu untuk meraih simpati orang ramai di media sosial Facebook.
Mohamad Taufiq Yusoff, 25, berkata, dia hanya mengetahui perbuatan individu tersebut setelah dihubungi individu lain yang memaklumkan satu paparan di media sosial memaparkan gambar bayinya untuk tujuan bantuan kos sara hidup.
Menurutnya, dia tidak pernah berbuat demikian malah tidak mengenali pemilik akaun bank tersebut yang menggunakan nama Muhammad Idham.
"Kami kesal apabila gambar anak kami digunakan oleh pihak lain dan menafikan akaun Facebook itu kepunyaan kami suami isteri.
"Bagi mengelakkan orang ramai ditipu, saya membuat laporan di Balai Polis Tengkera pada Isnin lalu," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah sewa mereka di Rumpun Bahagia Bachang.
Sementara itu, isterinya, Siti Aishah Rafiee, 27, berkata, sejak kisah anaknya disiarkan Sinar Harian, ramai pihak tampil menghulurkan sumbangan biarpun dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) termasuk yang menghubunginya untuk memberikan kata-kata semangat.
"Alhamdulillah syukur ada yang prihatin. Selain Jabatan Kebajikan Masyarakat yang telah menyalurkan bantuan bulanan sebelum ini, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) juga telah turun padang melihat sendiri keadaan kami," katanya.
Katanya, kini suaminya menjadi 'runner' bagi menampung keperluan mereka sekeluarga.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, pihaknya bercadang untuk memberikan bantuan susu dan lampin pakai buang selama enam bulan kepada keluarga berkenaan.
"Sebelum ini pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) telah membantu mendapatkan bantuan JKM dan kita akan memberikan bantuan seperti yang dirancang selain terus memantau keperluan lain untuk keluarga ini," katanya.
Sinar Harian sebelum ini menyiarkan kisah pasangan suami isteri ini yang reda apabila anak mereka Mohd Fauzan Syakir yang berusia 3 bulan menghidap penyakit Complex Cyanotic Heart Disease dan Diabetes Embryopathy sejak lahir termasuk tiada tulang belakang dan mempunyai satu injap jantung.
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Bayi 3 bulan tiada tulang belakang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!