Kehidupan yang sihat dan selamat
NURUL Huda Husain melaporkan dalam Sinar Harian pada 28 April 2020: “Jangkitan pandemik koronavirus (Covid-19) di Malaysia dijangka akan tamat sepenuhnya awal Julai depan, menurut Data-Driven Innovation Laboratory, Singapura University of Technology & Design”.
Membaca tajuk tulisannya sudah membuatkan saya rasa lega dan gembira. Ibarat orang yang ditahan lama dalam penjara didatangi pegawai penjara yang membawa khabar berita bahawa dia akan dibebaskan tidak lama lagi. Tiada kata-kata yang boleh menggambarkan kegembiraan tersebut.
Alhamdulillah, jika ALLAH mentakdirkan bahawa awal Julai nanti jangkitan Covid-19 akan tamat sepenuhnya.
Persoalannya, adakah kita boleh ‘berseronok’ sangat selepas pengisytiharan tersebut nanti? Saya berpandangan tidak. Ini kerana belum ada ubat atau vaksin yang ditemui. Saya tidak pasti sama ada memang betul tidak ada atau ada strategi tersirat. Apa pun kita tidak perlu buat apa-apa andaian.
Yang penting, dalam suasana begini, kita perlu bijak dalam menjalani kehidupan yang sihat dan menyihatkan serta kehidupan yang selamat dan menyelamatkan.
Bagaimana kita hendak merealisasikan satu kehidupan dan sihat dan menyihatkan serta kehidupan yang selamat dan menyelamatkan?
Sepanjang tempoh PKP ini sangat banyak perkara yang kita belajar. Seperti yang pernah saya sebut sebelum ini, apa yang ALLAH takdirkan pasti ada kebaikan dan hikmahnya.
Antara yang kita belajar adalah betapa kebersihan itu sangat penting dijaga. Dalam Islam memang sudah lama disebut tentang kebersihan iaitu semenjak al-Quran diturunkan. Namun, sudah menjadi satu kebiasaan yang kita lihat, betapa ramai umat Islam yang tidak ambil kisah tentang kebersihan.
Mungkin sebelum ini kita membasuh tangan secara lebih kurang sahaja. Mungkin juga sebelum ini kita tidak kerap membasuh tangan biarpun sekerap mana kita menyentuh sesuatu di luar sana.
Selepas PKP, sewajarnya kita teruskan keprihatinan kita terhadap kebersihan. Teruskan kaedah yang kita buat sekarang kerana ia sangat penting untuk pastikan jangkitan itu tidak kembali semula dan kita tidak terpenjara kembali.
Antara perkara lain yang kita belajar adalah bagaimana tatacara kita bila sakit dan juga bila berhadapan dengan orang sakit serta sikap kita terhadap tempat-tempat yang sesak dengan manusia.
Mungkin sebelum ini ketika menziarahi orang sakit, kita tidak mengambil langkah-langkah yang sewajarnya seperti memakai penutup muka.
Kita juga mungkin tidak pernah menjaga tatacara batuk dan bersin yang sepatutnya apatah lagi untuk mendidik anak-anak kita mengenainya. Kita mungkin sebelum ini tidak kisah dengan bersesak-sesak di tempat awam atau suka bersosial tanpa batasan.
Selepas PKP, kita sewajarnya meneruskan amalan berjaga-jaga sebagaimana dalam tempoh PKP.
Bila menziarahi orang sakit, jangan ambil mudah untuk tidak memakai penutup mulut. Kita juga perlu teruskan kebiasaan dalam PKP iaitu hadkan pergerakan kita ke tempat yang sesak dengan manusia. Teruskan amalan penjarakan sosial.
Selepas PKP nanti, kita jangan jadi seperti orang kemaruk sehingga kita ketepikan kesihatan dan keselamatan diri dan orang lain. Kita perlu bersama dalam memastikan kita semua sihat dan selamat. Kerjasama semua amat penting kerana kita tidak mahu dimasukkan dalam penjara PKP sekali lagi.
Kita tidak mahu lebih ramai menderita. Kita tidak mahu barisan hadapan terus melalui kehidupan yang jauh lebih perit berbanding kita yang hanya duduk di dalam rumah ini.
Akhir kalam, marilah kita amalkan kehidupan yang sihat dan menyihatkan serta yang selamat dan menyelamatkan. Wallahu a’lam.
* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!