Najis tikus pun boleh ada!
BUTTERWORTH - Najis tikus serta keadaan tempat pemprosesan kopi yang tidak bersih antara faktor utama sebuah kilang pemprosesan kopi di kawasan ini ditutup dalam operasi pihak berkuasa semalam.
Najis berkenaan ditemui di celah simpanan tong kosong yang digunakan untuk mengisi kopi.
Operasi dijalankan penguatkuasa Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara diketuai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama sama dengan beberapa agensi lain.
Pemeriksaan dijalankan hampir setengah jam itu turut melibatkan kawasan keseluruhan kilang, tempat pemprosesan, stor dan beberapa sudut lain dalam kilang berkenaan.
Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara, Mohamad Amin Ahmad Zubir berkata, dalam operasi ini pihaknya telah menjalankan pemeriksaan di sebuah kilang dan sebuah restoran.
"Kita menjalankan pemeriksaan di sebuah kilang memproses kopi dan hasil pemeriksaan kita dapati ada terdapat aspek kebersihan yang tidak memenuhi aspek yang ditetapkan.
"Pemeriksaan yang dijalankan di satu kawasan pemprosesan kopi menemukan najis tikus dan pemeriksaan yang dijalankan mendapati ia tidak mencapai tahap kebersihan yang dikehendaki," katanya.
Katanya, pihaknya kemudian mengeluarkan notis penutupan selama 14 hari kepada kilang tersebut.
"Berdasarkan hasil pemeriksaan kita telah keluarkan satu notis penutupan dibawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
"Pihak kilang boleh hadir ke pejabat kesihatan Seberang Perai Utara untuk membuat permohonan pemeriksaan semula, sekiranya pemeriksaan didapati memuaskan, langkah seterusnya akan diambil, sekiranya tidak mematuhi, tak menetapi tahap kita terpaksa lanjut," katanya.
Tambahnya, pemeriksaan turut sama dijalankan di beberapa buah restoran makanan di sekitar kawasan Butterworth.
"Kita keluarkan beberapa notis yang mana notis berkaitan kebersihan di mana salah satu premis tersebut didapati kurang memuaskan dari segi tahap kebersihannya.
"Tiga notis atas kehendak pemakaian pengendali makanan, yang mana pekerja di restoran ini tidak memakai topi, apron dan kasut yang lengkap," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!