Hospital Umum Sarawak beroperasi seperti biasa
PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melihat tiada keperluan untuk menutup sementara operasi Hospital Umum Sarawak susulan terdapat seramai 50 kakitangan di hospital berkenaan dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana jangkitan itu bukan berpunca dari hospital sebaliknya melalui komuniti.
Menurutnya, hasil pengesanan yang dilakukan, jangkitan itu berlaku melibatkan tiga kluster iaitu persidangan gereja dan dua kluster kecil lain.
"Sama juga seperti kes di Hospital Teluk Intan, kita kenal pasti kontak rapat dengan membuat saringan tetapi perkhidmatan hospital tetap diteruskan.
"Kita juga telah selesai melakukan sanitasi di kawasan hopital dan kita melihat tidak keperluan untuk tutup operasi kerana keadaan masih terkawal," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada KKM bercadang untuk menutup operasi Hospital Umum Sarawak susulan 50 kakitangan hospital tersebut didapati positif Covid-19.
Katanya, secara umumnya apabila terdapat mana-mana kakitangan kesihatan yang didapati positif, pengesanan kontak rapat akan segera dilakukan.
"Secara prinsipnya kita akan pergi kepada kontak rapat dan keluarga yang didapati positif di mana pengesanan secara aktif akan dibuat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!