PKP jangan sampai celaru mental

Tempoh PKP yang panjang boleh meninggalkan kesan emosi dan mental kepada ramai orang.
Tempoh PKP yang panjang boleh meninggalkan kesan emosi dan mental kepada ramai orang.
A
A
A

HARI ini genap 44 hari rakyat Malaysia sudah terperuk di rumah. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dapat dinafikan adalah satu langkah terbaik dalam memerangi virus Covid-19. Namun kita tidak dapat menafikan impak-impak yang dicetuskan PKP.

Selain kesan ekonomi, ramai yang mungkin mengambil mudah implikasi ke atas mental dan psikologi.

Duduk di rumah berjam-jam lamanya, apatah lagi jika tinggal di flat sempit dengan penghuni rumah yang mungkin mencecah 10 orang, situasi itu boleh mengganggu mental seseorang.

Tidak kurang juga emosi ibu bapa yang rindukan anak di kampus atau 'frontliners' yang tertekan dengan beban tugas.

Jangan dilupakan pula tekanan individu yang memikul tugas sebagai ketua keluarga, tetapi tanpa pekerjaan dan sumber pendapatan akibat PKP.

Contoh paling mudah baru-baru ini apabila seorang peniaga buah di utara yang nekad membuka kedai di depan rumahnya. Bagaimanapun, pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan memandangkan lelaki berkenaan menjalankan urus niaga dan melanggar PKP.

Namun, dalam video viral itu lelaki berkenaan sambil mengamuk mendakwa dia terpaksa membuka kedai kerana tiada sumber pendapatan untuk perbelanjaan seisi keluarganya.

Yang pasti kemarahan dan amukan lelaki berkenaan memuncak sehingga bertindak di luar dugaan. Tidak mustahil ia didorong tekanan psikologi yang dilalui sepanjang PKP.

Artikel Berkaitan:

Salah sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Medical Relief Society (Mercy Malaysia), mendedahkan pihaknya menerima lebih 1,059 aduan berhubung krisis Covid-19 sepanjang tempoh PKP ini.

Exco Mercy Malaysia Bahagian Kesihatan Mental dan Pasukan Sokongan Psikososial, Dr Hariyati Shahrima Abdul Majid berkata, purata panggilan yang diterima setiap hari mula meningkat terutamanya selepas PKP fasa kedua dijalankan.

Berbanding fasa pertama dengan 20 hingga 30 panggilan, memasuki fasa kedua PKP, jumlah panggilan meningkat mencecah 100 panggilan sehari.

Individu yang mengalami tekanan sewaktu PKP boleh mendapatkan bantuan kaunseling. - Gambar hiasan
Individu yang mengalami tekanan sewaktu PKP boleh mendapatkan bantuan kaunseling. - Gambar hiasan

Dalam pada itu, pakar perunding psikiatri dan psikologi Kedah Medical Centre, Dr Wan Mohd Rushdi Wan Mahmud berkata, kerajaan telah melakukan yang terbaik untuk kepentingan bersama, namun ada dalam kalangan masyarakat mula berasa tidak selesa dengan tempoh PKP yang kini sudah memasuki hari ke-44.

Menurutnya, ada yang beranggapan apa yang terjadi sebagai satu bentuk tekanan apabila perubahan yang berlaku memerlukan penyesuaian dilakukan terhadap apa yang berlaku untuk menghadapi keadaan baharu.

“Semakin panjang PKP, semakin ramai keluh kesah. Ada yang bingung dan kurang jelas kenapa PKP perlu dilaksanakan. Fenomena yang dialami unik dan menimbulkan pelbagai persoalan kerana ia tidak pernah dialami dalam negara kita,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Menurutnya, kuarantin, isolasi, penjarakan sosial dan duduk diam-diam di rumah adalah antara terma baharu yang terngiang-ngiang di telinga.

“Bagi sesetengah individu, ia begitu pelik dan belum pernah wujud dalam kamus harian. Jika berjaya ditangani, tidak ada masalah. Jika gagal, ia boleh menyebabkan pelbagai gangguan emosi dan perasaan seperti resah, gelisah, sedih, kecewa dan marah,” katanya.

Dr Wan Mohd Rushdi berkata, sekiranya berterusan dan tidak dikawal, ia boleh menyebabkan penyakit atau kecelaruan mental lebih serius seperti kemurungan, kegelisahan atau mengakibatkan keinginan membunuh diri dan sebagainya.

“Ada yang anggap proses yang berlaku ini bukan tekanan biasa, sebaliknya boleh mencapai ke tahap trauma kerana impak dialami jauh lebih teruk bagi sesetengah individu. Contohnya, petugas barisan hadapan terpaksa berdepan ancaman jangkitan setiap hari ketika bertugas sehingga wujud perasaan trauma,” katanya.

Hilang kebebasan

Menurutnya, pesakit yang dijangkiti pula berdepan kemungkinan maut akibat jangkitan wabak. Walaupun boleh pulih atau sembuh sepenuhnya, namun kesan akibat terdedah kepada risiko jangkitan itu boleh meninggalkan kesan mendalam.

“Ini termasuk keluarga dan rakan mereka yang terpaksa melihat dari jauh dan tidak boleh berbuat apa-apa. Aspek ini perlu diambil kira apabila tamatnya krisis ini, atau setelah keadaan kembali seperti biasa,” katanya.

Dr Wan Mohd Rushdi Wan Mahmud
Dr Wan Mohd Rushdi Wan Mahmud

Dr Wan Mohd Rushdi berkata, ada segelintir individu menganggap situasi kini seperti satu kehilangan seolah-olah seperti berlakunya kematian.

“Kita seolah-olah sedang berkabung atau menangisi ‘kehilangan’ yang wujud akibat Covid-19. Kehilangan dari aspek kebebasan hidup, terpaksa berkurung dalam rumah, tidak boleh menikmati hidup bebas seperti biasa dan melakukan apa yang kita suka,” katanya.

Menurutnya, ia turut memberi kesan kepada aspek ekonomi apabila sebilangan hilang pendapatan dan pekerjaan, aspek kesihatan (dijangkiti penyakit atau kematian) selain pendidikan terpaksa ditangguhkan.

“Gaya dan norma hidup kini berubah, tidak boleh bersalaman, terpaksa buat penjarakan sosial dan kuarantin. Kita akan melalui banyak peringkat gangguan emosi,” katanya.

Beliau berkata, perasaan terkejut, takut, bimbang, buntu, keliru dan pelbagai emosi pasti menjelma.

Menurutnya, harus diingat, wang bukan penentu segalanya. Bantuan kewangan tidak berupaya mengatasi masalah pelbagai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!