Ramadan peluang berniaga
MELAKA TENGAH - Penyakit buah pinggang tahap lima yang dihidapinya tidak menjadi penghalang seorang peniaga nasi ayam di gerai Monorail Food Village, Kampung Morten gigih mencari rezeki.
Shazzuan Shah Mohd Saleh, 33, yang mengusahakan gerai Nasi Ayam Abang Wan tetap bersyukur kerana masih boleh meneruskan perniagaan walaupun dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).
Bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata, perniagaan yang diusahakan sejak awal tahun ini mendapat sokongan isteri, Shazmin Abu Hasan, 31 dan ahli keluarga lain.
Berkongsi keistimewaan nasi ayamnya yang menggunakan resipi turun temurun keluarga lebih 30 tahun lalu Shazzuan Shah berkata, dia mementingkan bahan basah segar untuk menghasilkan sambal enak.
"Sebelum ini keluarga memang ada berniaga kedai makan termasuk di medan selera dan pengalaman membantu keluarga di dapur saya gunakan untuk mengusahakan gerai nasi ayam sendiri. Apa yang penting ialah ikhlas menyediakan makanan dan yakin rezeki ALLAH SWT itu luas," katanya yang menetap di Bukit Katil.
Pemuda yang berasal dari Alai di sini itu berkata, sepanjang Ramadan, dia menyediakan sebanyak 100 hingga 150 bungkus nasi ayam sehari pada harga RM5.50 sebungkus.
"Saya terpaksa mengehadkan jualan kerana bimbang tidak dapat menyiapkan tempahan yang banyak lebih-lebih lagi keadaannya yang perlu menjalani dialisis di hospital tiga kali seminggu.
"Sepanjang Ramadan ini kita beroperasi seperti biasa dengan mematuhi masa dan syarat yang ditetapkan pihak berkuasa," katanya yang turut menawarkan menu lain seperti nasi ayam goreng, kuetiau dan mi sup.
Menurutnya, dia menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan dengan mengenakan caj penghantaran RM3 di semua kawasan sekitar negeri ini tetapi pelanggan perlu menempah lebih awal.Sementara itu, bagi usahawan wanita yang menjual produk minuman kopi campuran, Gold Eaf (M) Sdn Bhd menganggap Ramadan kali ini sebagai peluang untuk bersedekah melalui kerjasama Japerun Pengkalan Batu.
Norfadilah Hassan, 42 yang juga bekas kontraktor, berkata, pihaknya menginfak kira-kira 2,000 paket kopi campuran untuk disertakan dalam kit makanan bagi diagihkan kepada golongan yang terkesan sepanjang PKP dan Ramadan.
Usahawan yang memulakan perniagaan jualan atas talian sejak tiga tahun lalu itu menyasarkan jualan sebanyak 10,000 paket kopi termasuk minuman coklat sepanjang bulan ini selain menggunakan platform pemasaran digital seperti Shoppe dan Agro bazar di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Sepanjang Ramadan juga, beliau turut membuat promosi potongan harga RM2 bagi setiap pembelian paket minuman kopi termasuk teh tarik yang terdapat 10 sachet daripada harga asal RM10 kepada RM8 dengan berpatutan.
"Walaupun jumlahnya tidak banyak untuk membantu, namun sekurang-kurangnya dapat meringankan beban terutama golongan yang terkesan akibat PKP," katanya yang berasal dari Klebang.
Tambahnya, kebiasaan setiap tempahan sekitar Melaka akan dibuat penghantaran dengan mengenakan bayaran minimum RM3, dan jika luar dari negeri ini pihaknya akan akan membuat pengeposan.
Usahawan itu juga berharap empat produk minuman itu termasuk 'white coffee' yang mencatatkan jualan tertinggi terus mendapat permintaan walaupun berdepan dengan persaingan dengan jenama lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!