Tuak kelapa 'pembuka' selera di bulan Ramadan
PASIR PUTEH - Nira kelapa atau lebih popular dengan panggilan tuak merupakan antara minuman 'wajib' yang disifatkan cukup istimewa dalam kalangan masyarakat di negeri ini setiap kali berbuka puasa.
Maka tidak hairanlah, setiap kali tibanya bulan Ramadan, permintaan terhadap minuman tradisi rakyat Kelantan itu akan meningkat berbanding hari-hari biasa.
Situasi itu membuatkan para pengusaha minuman yang dihasilkan menerusi keratan mayang kelapa itu tidak menang tangan dalam memenuhi permintaan para penggemar minuman.
Bagaimanapun, bagi Saidi Seman, 57, dari Kampung Gong Kulim di sini lebih mementingkan aspek kualiti berbanding kuantiti dalam menghasilkan tuak kelapa.
Saidi berkata, dia berbuat demikian kerana mahu para pelanggan dapat merasai keenakan rasa sebenar tuak setelah berpuasa pada waktu siang hari.
"Sepanjang Ramadan saya perlu menyandat tuak daripada 10 batang pokok kelapa dengan jumlah pengeluaran sebanyak 30 liter.
"Dalam menghasilkan tuak saya lebih gemar menggunakan kelapa dari jenis mawar kerana rasanya begitu enak dan manis.
"Bagi menambah keenakan rasa tuak kelapa saya menggunakan aroma kayu cengal atau 'laghu' yang diletakkan di dalam bekas plastik ketika proses tuaian dijalankan," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Menurutnya, keenakan rasa tuak turut bergantung kepada faktor cuaca dan memerlukan cuaca panas dan lembap yang sekata.
Dia berkata, setiap hasil tuaian itu dipasarkan terus bagi memastikan kesegaran minuman itu kekal berterusan.
Katanya, setiap hari dia akan menuai hasil sebanyak dua kali iaitu pada waktu pagi dan petang sesudah menunaikan solat fardu Asar.
Saidi yang lebih sedekad berkecimpung dalam bidang berkenaan berkata, tuak yang dihasilkannya itu biasanya menjelajah ke seluruh negara setiap kali Ramadan.
"Namun disebabkan sekarang ini kita perlu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ianya hanya dijual sekitar Pasir Puteh sahaja," katanya.
Menurutnya, dia menjual tuak kelapa yang dihasilkannya itu dengan harga RM12 untuk 2 liter.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!