Parcel Scam: Penolong pengurus kilang rugi RM84,950
KUANTAN - Seorang penolong pengurus kilang kerugian RM84,950 selepas diperdaya sindiket penipuan kiriman bungkusan atau Parcel Scam, Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 42 tahun mendakwa menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada seorang lelaki memperkenalkan dirinya dari syarikat Ekc Delivery Servis yang memaklumkan terdapat satu bungkusan milik mangsa mengandungi beg berjenama.
Menurutnya, suspek kemudian meminta mangsa membuat pembayaran cukai sebanyak RM9,150 bagi melepaskan barang itu sampai kepadanya.
"Mangsa seterusnya memberitahu bahawa dia tidak pernah membuat pesanan dari Amerika Syarikat, bagaimanapun suspek mengugut akan membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyebabkan mangsa membuat transaksi wang berjumlah RM9,150 ke dalam satu akaun diberikan suspek pada hari sama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tidak cukup dengan itu, suspek sekali meminta mangsa membuat transaksi wang dengan pelbagai alasan termasuk memudahkan bungkusan diterima.
"Mangsa tanpa berfikir panjang terus membuat dua kali lagi pindahan wang ke dalam dua akaun berbeza menjadikan jumlah keseluruhan wang diserahkan kepada sindiket itu sebanyak RM84,950," katanya.
Bagaimanapun katanya, mangsa kemudian menyedari menjadi mangsa penipuan sebelum laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, pihaknya mengingatkan orang ramai supaya tidak sesekali terperdaya dengan taktik penipuan seumpama itu dan meminta semakan dibuat sekiranya mereka dikaitkan dengan mana-mana pihak berwajib seperti Kastam dan syarikat kurier yang dinyatakan dengan menghubungi telefon sahih bagi mendapatkan kepastian sama ada wujud atau tidak bungkusan terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!