Ezakat Muip catat kutipan bayaran zakat fitrah tertinggi

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Kemudahan pembayaran zakat fitrah dalam talian melalui ezakat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) lebih mendapat perhatian umat Islam di negeri ini apabila merekodkan kutipan tertinggi ketika ini berbanding pembayaran dalam talian lain.

Setiausaha Muip, Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, kutipan zakat fitrah melalui laman sesawang ezakat.muip.gov.my mencatatkan RM408,870 membabitkan 13,796 pembayar daripada jumlah keseluruhan kutipan lebih RM473,018 setakat ini dengan 15,983 pembayar.

Menurutnya, kutipan zakat melalui dalam talian dan khidmat pesanan ringkas (SMS) itu dijangka bertambah dari masa ke masa sepanjang Ramadan ini.

"Selain itu, bayaran melalui aplikasi PahangGo pula RM52,486 membabitkan 1,787 pembayar, diikuti SnapNPay sebanyak RM7,609 (278 pembayar) dan SMS (Fitrah15888 MUIP) melibatkan kutipan sebanyak RM4,053 dengan 122 pembayar.

"Kadar zakat fitrah ditetapkan di Pahang pada tahun ini ialah RM7, jadi pembayar boleh membuat pembayaran menerusi talian ataupun perkhidmatan SMS," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu jelasnya, tiada khidmat amil disediakan bagi menguruskan kutipan zakat fitrah pada Ramadan kali ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berlangsung dan menyifatkan kemudahan pembayaran secara dalam talian serta SMS sebagai inisiatif membantu kerajaan memutuskan rangkaian jangkitan koronavirus (Covid-19).

"Jadi, semua umat Islam di negeri ini hendaklah menunaikan zakat fitrah bermula awal Ramadan hingga selewat-lewatnya sebelum solat sunat Aidilfitri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!