[VIDEO] 'Dapat 1juta komen, aku akan potong rambut macam ini'
KEMPAS - Seorang pemuda tidak menyangka cabaran menggunting rambut gaya lucu disahut netizen apabila dia memperoleh satu juta komen di Facebook miliknya.
Mohammad Rafiezulanwar Jaffri, membuat cabaran ke atas dirinya dengan menggunting rambut botak tengah tanpa mengusik rambut di bahagian tepi sekiranya memiliki satu juta komen daripada netizen.
Rafiezulanwar memuat naik cabaran itu di Facebook dengan kapsyen, 'Dapat 1M (satu juta) komen, aku akan potong rambut macam ni. Takkan dapat punya 1M komen tu' hingga tular di laman sosial.
Dia bekerja di Singapura juga berkongsi gambar seorang lelaki yang mempunyai fesyen rambut lucu itu.
Tidak sampai sembilan jam, netizen terus membanjiri ruang komen sejak semalam dan pastinya komen di Facebook Rafiezulanwar mencecah sejuta dan lebih 54,000 tanda suka serta 18,000 perkongsian.
"Saya sungguh tak sangka benda ini akan mendapat 1M komen dan post menjadi tular, memang betul-betul tak sangka, jauh di luar fikiran saya.
"Apa yang ada di fikiran saya adalah tak mungkin boleh dapat 1M tapi dengan kuasa 'viral', ia terjadi dengan izin ALLAH," katanya kepada Sinar Harian.
Rafiezulanwar bekerja di Singapura berkata, tujuan hantaran itu dibuat sekadar gurauan dan berlaku secara spontan.
"Sebenarnya semua ni secara spontan. Dari awal saya memang tak ada rancang untuk post benda macam tu.
"Saya cari di Google mengenai rambut dan post di Facebook. Sebelum saya post di Facebook, saya letak cabaran 500,000 komen kemudian saya batalkan.
"Alang-alang lebih baik letak 1M sebab tak mungkin orang nak layan, lepas itu saya terus sambung buat kerja," katanya.
Berperwatakan kelakar dan mudah terhibur, Rafiezulanwar akhirnya tunaikan janji dengan melaksanakan cabaran tersebut.
"Alhamdulillah, saya sudah tunaikan janji saya dengan izin ALLAH, semua ini hanyalah sekadar hiburan. Terima kasih yang komen, yang mendoakan, sentiasa positif.
"Maaf jika ada kurang daripada saya. Semoga kita semua dimurahkan rezeki, dipanjangkan umur, diberikan kesihatan, dipermudahkan urusan dunia akhirat dan dunia semakin pulih dari Covid19.
"Saya akan kekalkan rambut saya untuk beberapa hari demi permintaan kamu semua," katanya.
Seperti yg telah dijanjikan .. Gunting Rambut ..
Posted by Mohammad Rafiezulanwar Jaffri on Wednesday, April 29, 2020
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!