PKP: Dua sahabat didenda RM800 ambil angin sambil merokok
SUNGAI PETANI - Dua sahabat dikenakan denda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Muhamad Asraf Nordin, 23, dan Ahmad Radhi Bashizan, 19, didakwa melakukan kesalahan ketika berada di sebuah pondok di kawasan padang permainan dengan alasan mahu menghisap rokok dan ambil angin, pada jam lebih kurang 12.20 tengah malam di padang permainan Taman Sidam Kiri, 18 April lalu.
Mereka didakwa di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Majistret, Nadhirah Abdul Rahim memberi teguran kepada kedua-dua tertuduh agar mematuhi arahan kerajaan sepanjang tempoh PKP terutama kepada Ahmad Radhi yang menggunakan bantuan tongkat akibat kecederaan di kaki masih dalam proses pemulihan selepas kemalangan dua bulan lalu.
Menurutnya, walaupun bosan namun rakyat masih boleh menghisap rokok dan ambil angin dalam kawasan pagar rumah tanpa perlu keluar terutama pada waktu tengah malam bagi mengelakkan ditangkap.
Nadhirah turut memerintahkan hukuman penjara sebulan penjara jika mereka gagal membayar denda.
Selain itu, di mahkamah sama, empat individu mengaku salah terhadap pertuduhan ingkar PKP di mana seorang daripadanya berusia 28 tahun dikenakan hukuman penjara dua bulan dan turut didakwa atas kesalahan berkaitan dadah.
Dua lagi tertuduh berusia 30 tahun didenda RM1,000 atau dua bulan penjara jika gagal bayar kerana ingkar PKP sementara seorang remaja berusia 16 tahun dibenarkan diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin sebelum kes terhadapnya disebut pada 10 Jun depan untuk serahan laporan akhlak.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Zulfadzly Hassan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!