Bawa sekali dua adik terkandas pulang
KUALA KANGSAR - Dua beradik yang terkandas di rumah sewa didiami kakak mereka sejak lebih sebulan lalu antara yang dihantar pulang bersama 108 pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini hari ini.
Muhammad Danial Iman Abdullah, 11, dan Nurdiana Iman, 10, bertandang ke rumah sewa kakak mereka, Nor Safiqa Sharina, 22, tiga hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, 18 Mac lalu.
Nor Safiqa yang merupakan pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Syariah Gunaan di USAS tidak dapat membawa adik-adiknya pulang lebih awal ke rumah mereka di Chenderong Balai, Teluk Intan kerana patuh pada PKP di samping terikat dengan jadual kuliah.
Ketika ditemui, anak sulung daripada empat beradik itu berkata, memang kebiasaan cuti sekolah dia akan membawa kedua adiknya itu datang ke rumah sewanya di Taman Chandan Puteri 3 untuk bersiar-siar.
"Kalau ikutkan sebelum habis cuti sekolah, saya akan hantar mereka pulang ke kampung tetapi kebetulan pula ada PKP, jadi mak tak benarkan kami balik takut nanti jadi satu kesalahan dan kena tangkap.
"Saya ambil keputusan jaga mereka di rumah sewa sementara menunggu PKP ditamatkan dan sepanjang tempoh itu, makan saya masakkan, baju-baju mereka juga saya basuhkan," katanya.
Nor Safiqa mengakui lega apabila kerajaan membenarkan penghantaran pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara termasuk yang tinggal di rumah sewa.
Dia kemudiannya meminta kebenaran pengurusan universiti untuk membawa bersama dua adiknya pulang.
"Syukurlah kami dapat balik, saya lebih risaukan adik-adik sebab mereka tak biasa berpisah lama begini.
"Walaupun mereka diam sahaja, saya tahu mereka dah mula rindu keluarga, tambah-tambah sekarang kita sedang berpuasa," katanya.
Muhammad Danial berkata, hampir setiap hari dia dan adiknya bercakap dengan emak mereka di telefon.
"Mak selalu pesan jangan nakal-nakal, dengar cakap kakak dan jangan keluar rumah.
"Sekarang dah boleh balik rumah, seronok sangat dan tak sabar nak jumpa mak ayah," katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Naib Cancelor Akademik dan Hal Ehwal Pelajar USAS, Prof Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof berkata, penghantaran kali ini hanya melibatkan kawasan daerah-daerah dalam negeri antaranya Pengkalan Hulu, Kerian, Taiping, Manjung, Kampar dan Teluk Intan menggunakan perkhidmatan tujuh bas dan dua van.
Menurutnya, bagi penghantaran merentasi negeri pula akan dilakukan secara berperingkat bermula 1 Mei hingga 9 Mei ini melibatkan lebih 300 pelajar.
"Terdapat sebilangan pelajar yang tidak boleh pulang disebabkan kampung terletak di kawasan zon kuning dan merah.
"Ada juga memilih tinggal di kampus kerana kampung tidak mempunyai capaian internet yang baik bagi membolehkan mereka mengikuti kuliah yang dijalankan dalam talian," katanya.
Proses penghantaran pulang pelajar USAS hari ini bermula jam 9 pagi tadi dengan kesemua pelajar menjalani saringan gejala sebelum menaiki bas dan dibekalkan topeng muka.
Hadir sama meninjau, Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!