YouTuber tawar Rp10 juta untuk batalkan puasa mohon maaf
JAKARTA - Personaliti YouTuber terkenal, hasanjr11 memohon maaf kepada umat Islam atas tindakannya menawarkan Rp10 juta (RM2,845) kepada individu yang sanggup batalkan puasa demi wang.
Permohonan maaf itu dimuat naik di Instagram miliknya @hasanjr11.
"Saya hasanjr11, mahu minta maaf kepada seluruh masyarakat Islam terhadap satu video YouTube yang tidak sepatutnya berlaku.
"Saya mengakui ia adalah idea gila yang pastinya satu kesilapan. Secara peribadi, perkara itu berlaku adalah kesalahan saya 100 peratus," katanya.
Memiliki jumlah pengikut seramai 4.9 juta 'subscribers', hasanjr11 menjelaskan perkara terkutuk itu tidak akan berulang lagi.
"Saya berjanji ia tidak akan terjadi pada masa hadapan.
"Kejadian ini memberi saya pengajaran cukup bermakna dan saya akan memperbaiki pengisian video kepada lebih baik. Saya minta maaf sekali lagi," katanya.
Dalam pada itu, video kontroversi yang mendapat kritikan dan kecaman daripada netizen telah dibuang dari saluran YouTube miliknya.
Sebelum ini, hasanjr11 telah memuat naik video menunjukkan dirinya telah menawarkan makanan segera kepada orang ramai bagi menguji tahap materialistik dan keimanan seseorang.
Adakah orang ramai sanggup membatalkan puasa mereka demi wang.
Sebagai ganjaran, beliau berjanji akan memberi wang bernilai Rp10juta kepada individu tersebut.
Menyifatkan perbuatan hasanjr11 adalah satu penghinaan dalam Islam, netizen mengecamnya dan menjadi perbualan hangat di laman sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!