Dijel tujuh hari gara-gara cuba bunuh diri

Sim Chuan (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas dijatuhi hukuman penjara tujuh hari atas pertuduhan cubaan membunuh diri.
Sim Chuan (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas dijatuhi hukuman penjara tujuh hari atas pertuduhan cubaan membunuh diri.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang tukang pasang mozek dijatuhi hukuman penjara tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, bermula hari ini kerana cuba membunuh diri dengan cara mencederakan leher menggunakan gunting selepas bertengkar dengan abang ipar.

Tan Sim Chuan, 32, sebelum itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan cuba membunuh diri di dalam bilik tidur di Blok B, Pangsapuri Laksamana Cheng Ho di sini, pada jam 8 malam, 26 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, lelaki itu telah bertengkar dengan abang iparnya di bilik tidur kerana tertuduh didakwa kerap meminjam wang daripada ibu dan setelah abang iparnya keluar dari bilik, tertuduh menutup dan mengunci pintu bilik dari dalam.

Tertuduh kemudian membuka gril tingkap dan menulis dengan tulisan Cina di atas kertas yang bermaksud, "mahu membunuh diri" yang diselitkan di bawah celah pintu sebelum bertindak mengeluarkan sebelah kakinya di tingkap.

Tidak lama selepas itu, tertuduh membuka pintu bilik dan mengacu gunting di lehernya dengan ugutan mahu membunuh diri, namun dia berjaya ditenteramkan oleh ibunya.

Ketika prosiding jatuh hukuman Majistret, Teoh Shu Yee menasihati lelaki tersebut supaya tidak lagi mengambil tindakan seperti itu.

"Ini adalah suatu perbuatan tidak bertanggungjawab dan (bunuh diri) bukanlah jalan penyelesaian terbaik.

Artikel Berkaitan:

"Jika ada masalah kewangan sepatutnya hubungi talian khas yang disediakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mahupun mencari ahli psikologi untuk dapatkan nasihat, ingatlah masih ada keluarga yang sayangkan dan mengambil berat," kata beliau dalam penghakimannya.

Dalam pada itu tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menggunakan dadah jenis methamphetamine untuk diri sendiri di Pejabat Narkotik Melaka Tengah, pada 12.01 tengah malam, 27 April lalu.

Kes itu disebut pada 22 Jun depan sebelum dia dibenarkan diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos, manakala tertuduh diwakili peguam, Yap Wei Ping.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!