20 dalang sindiket penyeludupan migran dikenal pasti

Antara tekong dan migran yang diberkas dalam Op-Pintas Bersepadu Selatan yang dilancarkan sejak 22 hingga 27 April lalu.
Antara tekong dan migran yang diberkas dalam Op-Pintas Bersepadu Selatan yang dilancarkan sejak 22 hingga 27 April lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis sudah mengenal pasti kira-kira 20 sindiket penyeludupan migran termasuk beberapa pegawai agensi penguat kuasa yang dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah itu ke negara ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan tegas akan diambil tanpa mengira latar belakang dan kedudukan mereka yang menjadikan Johor sebagai transit.

"Dalang yang dikenal pasti kurang daripada 10 orang, ada kedudukan dan bersekongkol. Bukan terdiri daripada masyarakat awam sahaja tetapi juga di kalangan pegawai agensi penguat kuasa.

"Jangan terkejut kalau ada tangkapan dibuat, kita tidak akan bertolak ansur," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Menurut Ayob Khan, pihaknya juga kini memberi tumpuan kepada usaha menangkap tekong yang memainkan peranan dalam menjalankan kegiatan jenayah penyeludupan migran ini.

Antara tekong dan migran yang diberkas dalam Op-Pintas Bersepadu Selatan yang dilancarkan sejak 22 hingga 27 April lalu.
Antara tekong dan migran yang diberkas dalam Op-Pintas Bersepadu Selatan yang dilancarkan sejak 22 hingga 27 April lalu.

"Sebelum ini kebanyakan tangkapan melibatkan migran, tetapi kini kita memberi tumpuan kepada memburu tekong.

"Kita yakin langkah ini akan dapat menyekat kemasukan migran ke negara ini, lebih-lebih lagi sekiranya perintah kawalan pergerakan (PKP) ditamatkan kerajaan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga memberi amaran kepada orang ramai khususnya pemilik kediaman dan pemandu teksi untuk tidak bersekongkol dengan menyediakan penginapan dan pengangkutan kepada sindiket terbabit.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, polis turut memaklumkan penahanan seramai 20 tekong dan 24 migran menerusi sembilan serbuan yang dijalankan antara 22 April hingga 27 April lalu menerusi Op-Pintas Bersepadu Selatan.

"Tekong yang ditahan terdiri daripada sembilan lelaki dan seorang perempuan warga tempatan serta sembilan lelaki dan seorang perempuan warga Indonesia berusia antara 20 hingga 57 tahun.

"Migran yang ditahan terdiri daripada 21 lelaki dan tiga perempuan warga Indonesia berusia antara 19 hingga 31 tahun," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A ATIPSOM 2007, Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 8 dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 serta Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!