Covid-19: Hospital saringan Covid-19 di Sarawak meningkat 72 peratus
PUTRAJAYA - Jumlah hospital saringan wabak koronavirus (Covid-19) di Sarawak kini meningkat kepada 18 buah atau 72 peratus berbanding lima pada fasa gelombang pertama wabak itu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu empat hospital dikenal pasti sebagai pusat rawatan Covid-19.
"Hospital berkenaan ialah Hospital Umum Sarawak, Hospital Miri, Hospital Bintulu dan Hospital Sibu.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 736 katil yang dikhaskan bagi kes Covid-19 dan 63 katil untuk rawatan kritikal serta 112 mesin bantuan pernafasan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, di Sarawak juga terdapat empat makmal yang boleh menjalankan pengesanan wabak tersebut iaitu Hospital Umum Sarawak, Hospital Sibu, Hospital Miri dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
"Secara keseluruhannya, jumlah ujian pengesahan yang dapat dijalankan di empat makmal ini adalah 898 ujian, dan ini akan dipertingkatkan ke 1,040 ujian sehari.
"Hospital Umum Sarawak juga bakal menerima sebuah mesin Lab Turbo yang dijangka beroperasi pada awal Mei ini dengan kapasiti 200 ujian sehari, Hospital Bintulu pula dijangka menjalankan ujian mulai pertengahan bulan Mei dengan kapasiti 30-40 ujian sehari," katanya.
Katanya, sekiranya ada keperluan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menghantar sampel ke
makmal hospital di Semenanjung Malaysia atau ke makmal swasta sebagai salah satu perancangan peningkatan kapasiti makmal jangka masa pendek.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!