Kawalan sempadan perlu diperketat
PUTRAJAYA - Kawalan sempadan di Malaysia perlu terus diperketatkan walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilonggarkan ketika ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu perlu bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19) khususnya melibatkan kes import.
"PKP akan ada kelonggaran, kita sedang berbincang prosedur operasi standard (SOP) tertentu semua sektor dan perlu patuh. Perkara itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
“Berbanding negara lain, apabila mereka tamatkan PKP ia termasuk kawalan sempadan (ditamatkan), kita tidak tamatkan PKP malah kawalan sempadan diperketatkan lagi," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa syarikat penerbangan yang telah memulakan operasi ketika ini.
Katanya, ini kerana sehingga kini, 251 kes import direkodkan membabitkan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara.
Dalam pada itu katanya, perbincangan akhir berhubung rawatan dan rawatan pandemik Covid-19 antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan pasukan pakar perubatan China akan berlangsung hari ini.
"Perbincangan tersebut dijangka berkisar mengenai kesihatan awam termasuk makmal dan penggunaan ubat-ubatan dengan lebih mendalam.
"Sekurang- kurangnya mereka yakin bahawa tindakan kita berkesan dan kita cuba elakkan kelemahan yang dilakukan ketika memerangi wabak itu di China," katanya.
Pada 18 April lalu, sepasukan pakar perubatan China tiba di Malaysia bagi berkongsi pengalaman mereka dalam memerangi pandemik itu.
Sementara itu, ditanya mengenai adakah pasukan perubatan tersebut menyarankan penggunaan herba Cina dan Melayu, Dr Noor Hisham berkata, ia sekadar rawatan sampingan.
"Ia bukan sebagai rawatan utama. Mereka mencadangkan akupunktur dan herba yang mungkin boleh mempercepatkan proses penyembuhan," katanya.
Sementara itu, menyentuh mengenai mutasi koronavirus, beliau berkata, kementerian akan menyalurkan maklumat kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi setiap kajian yang dilakukan untuk didokumentasikan.
"Kita sekarang pada peringkat awal kajian untuk mengenal pasti virus baharu ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!